Search This Blog

Loading...
Your Ad Here

terkini

03 September 2008

CERPEN...TANGISAN YANG MENGAKHIRI SEBUAH KEHIDUPAN 1

Tuan Zaidi, merupakan seorang ahli perniagaan melayu yang terkenal di Singapura.  Sebut sahaja namanya  semua kawan kawannya sudah tahu yang dia mempunyai empat orang isteri yang cantik cantik belaka. 


Alasan yang diberikan apabila ditanya mengapa beliau beristeri sampai empat orang pasti jawapannya ialah dia mahukan zuriat namun malangnya sampai sekarang pun isteri isterinya masih tidak dapat menunaikan apa yang diidamkannya itu.


Tuan Zaidi seolah olah sudah berputus asa, memandangkan umurnya yang sudah pun menjangkau ke usia tujuh puluh tahun, tentunya dia memerlukan sekurang kurangnya seorang pewaris yang dapat mengendalikan perniagaannya itu.


Pagi itu seperti biasa Tuan Zaidi kepejabatnya menaiki kereta mewahnya, Rolls Royce yang dipandu oleh drivernya, Pak Mat meninggalkan perkarangan banglo mewahnya yang dua tingkat itu.


Tuan Zaidi tidak pasti kenapa sejak kebelakangan ini hatinya begitu sunyi sekali walaupun hidupnya mewah, berumah besar, berkereta besar, dikelilingi oleh empat orang isteri yang cantik tetapi kehidupannya menjadi begitu suram sekali.


“Tuan, boleh saya tanya kenapa Tuan nampak berlainan sekali pagi ini?’’ Pak Mat memulakan bicaranya setelah dilihatnya keadaan Tuan Zaidi yang agak murung pada pagi yang nyaman itu.


“Mat, saya kaya, ada banyak harta, ada ramai isteri, ada beberapa buah kereta dan rumah tapi sejak dah tua ni, saya rasa jiwa saya semakin kosong dan tak pernah tenang.  Kenapa ya Mat?  Kadang kadang saya rasa lebih baik hidup macam awak, walaupun miskin tapi amat bahagia sekali saya tengok.”


“Sebenarnya Tuan, kebahagiaan bukanlah terletak pada kemiskinan atau kekayaan tetapi sebaliknya ia terletak dalam diri kita sendiri Tuan.” Jawab Pak Mat ringkas.  Tuan Zaidi mendengarkan sahaja jawapan Pak Mat itu tanpa sebarang reaksi, sebaliknya fikirannya terus melayang mengenangkan telatah dan kerenah keempat empat isterinya itu.


Tuan Zaidi tersangat sayangkan isteri keempatnya, Suzanna. Tuan Zaidi  selalu  menghiaskannya dengan pakaian yang serba mahal lagi ekslusif, serta menjamu seleranya dengan berbagai jenis makanan yang serba lazat. Dia terlalu mengambil berat terhadap isteri keempatnya itu dengan memberinya segala apa yang terbaik sahaja dan tidak pernah menolak segala kehendaknya.


Dengan isterinya yang ketiga pula, dia selalu bermegah megah dengan kecantikkan Maria maklumlah dikalangan isteri isterinya, Marialah yang paling cantik dan anggun. Tuan Zaidi sentiasa dengan bangganya memperkenalkan Maria kepada kawan-kawannya setiap kali mereka pergi ke majlis majlis formal. Tetapi disebalik kebanggaannya itu, dia sebenarnya amat takut akan kehilangan  isteri ketiganya ini, yang menjadi buah hatinya, akan lari pula mengikuti lelaki lain yang lebih muda memandangkan umurnya yang semakin lanjut itu.


Isteri Tuan Zaidi yang kedua Latifah, juga amat di sayanginya. Isterinya yang ini seorang yang amat bertimbangrasa, sentiasa bersabar, bahkan dia juga bertindak sebagai penasihat peribadi Tuan Zaidi.  Tatkala Tuan Zaidi menghadapi sebarang masalah dia selalu merujuk kepada isteri keduanya ini, dan isterinya pula akan sentiasa membantu Tuan Zaidi  dalam sesuatu keadaan yang amat menekan jiwanya.


Fatimah, isteri pertamanya pula merupakan seorang isteri yang amat setia kepadanya, dan telah banyak memberi bantuan kepada Tuan Zaidi dalam menyelenggarakan harta kekayaan serta perniagaannya.  Disamping itu, isteri pertamanya jugalah yang sibuk mengendalikan segala urusan rumahtangga Tuan Zaidi.  Namun demikian, Tuan Zaidi tidak menyayangi isteri pertamanya itu, walau pun isterinya amat mengasihi dan menyayanginya, bahkan dia tidak pernah ambil peduli langsung terhadap kebajikan isteri pertamanya itu.


Tiba tiba lamunannya terhenti apabila drivernya memberhentikan kereta dihadapan pejabatnya.  Seperti biasa drivernya akan membukakan pintu untuknya.  Bila Tuan Zaidi hendak keluar sahaja dari keretanya tiba tiba dia terasa dadanya sakit, pandangan matanya menjadi kabur, keadaan sekelilingnya berpusing ligat.  Dan dengan tidak semena mena sahaja Tuan Zaidi terjatuh lalu pengsan.....


Melihatkan keadaan tuannya yang sudah pengsan itu, Pak Mat dengan segera memanggil seorang pengawal keselamatan yang ada disitu, untuk membantunya  mengangkat Tuan Zaidi  masuk kedalam kereta.  Tanpa membuang masa Pak Mat terus membawa Tuan Zaidi ke Hospital Besar Singapura.  Tiba sahaja di hospital, tanpa membuang masa Pak Mat terus sahaja menelefon keempat empat isteri Tuan Zaidi, untuk memberitahu mereka tentang kejadian tersebut.


Tidak berapa lama kemudian keempat empat isterinya pun tiba di hospital, Fatimah, isteri pertama Tuan Zaidi terus meluru ke arah Pak Mat.  ”Macamana boleh jadi begini Pak Mat?” “Setahu saya, tuan kamu tu tak ada apa apa penyakit.”


“Alah... kakak mana tahu. “Abang Zaidi tu memang selalu mengadu sakit dada bila tiba gilirannya kerumah Ifah,” isteri kedua Tuan Zaidi tiba tiba menyampuk.  “Aa..ah.  Betul Kak Imah.  Kadang kadang tu, Abang Zaidi sampai jatuh pingsan.  Mula mula dulu tak teruk sangat.  Tapi sejak kebelakangan ini semakin teruk Maria tengok,” kata Maria pula seolah olah memberi sokongan kepada Latifah. 


Setelah mendengar pengakuan dari kedua dua madunya itu, Fatimah tiba tiba merasa sedih, mengenangkan nasib dirinya, apa akan terjadi sekiranya suaminya yang dicintai itu meninggal dunia memandangkan dirinya yang hanya sebatang kara itu.   


                                                                                                                                                       Bersambung....

No comments:

Popular Posts