Search This Blog

Loading...
Your Ad Here

terkini

17 December 2008

Cerpen : Hantu Belakang Bengkel

Miki cukup dikenali dengan perangainya yang suka menyakat. Malah semua penghuni asrama perempuan Sekolah Menengah Teknik Shah Alam tahu akan perangainya itu. Bukan itu saja, Miki mempunyai satu tabiat pelik yang tidak diketahui oleh rakan-rakannya iaitu suka bersolek pucat seperti 'zombie'. Namun ragam luarbiasanya itu kurang disenangi sahabat karibnya Zuliza. Dia ialah satu-satunya orang yang mengetahui perangai pelik Miki.

"Miki.. aku tengok kau ni makin hari makin menjadi-jadi perangai kau ni.. Rentikanlah perangai tak 'semenggah' kau tu.. aku risau kau tau tak..?", ujar Zuliza pada suatu hari pada Miki kerana dia semakin tidak bersetuju dengan cara sahabatnya itu 'bergurau'. "Alah.. apa yang kau nak risaukan..? Bukannya aku pergi merompak diorang ke, belasah diorang ke, takde kan..?", Miki membalas dengan bersahaja. Langsung tidak menyedari yang perbuatannya itu adalah tidak bermoral. Padanya, segala apa yang dibuatnya adalah sangat menyeronokkan. Geli hatinya pabila melihat orang yang disakatnya itu lintang-pukang melarikan diri malah ada yang sampai terlanggar dinding bilik asrama kerana ketakutan melihat 'hantu' samaran Miki. Salah seorang dari mangsa-mangsanya ialah Zetty. Miki cukup sukakan perwatakan Zetty yang agak senyap dan cepat melatah itu. Sebab itulah pada setiap hujung minggu, ada saja taktik yang digunakannya terhadap Zetty bertujuan untuk menakut-nakutkan gadis itu.

"Lama-lama aku boleh meninggal kau tau tak..? Kau ni tak habis-habis nak menyakat aku.. pergilah buat kerja menyakat kau tu dekat belakang bengkel sekolah kalau kau berani sangat..!!, luah Zetty yang bosan melihat tabiat buruk Miki saban hari. "Alah.. kau tu dah penakut, cakap jelah penakut.. tak payah nak cabar-cabar akulah..!! Hei, ini Miki Farida kau tau..!! Tak payah orang nak usul kat aku, aku sendiri memang dah lama nak pergi ke sana..", Miki berkata sambil meloncat duduk ke atas batu penghadang di laluan tangga blok F. Baru sebentar tadi dia tersandar ke dinding kerana geli hati melihat Zetty yang meloncat-loncat tatkala terlihat wajah 'hantu' Miki. Sakit perutnya menahan ketawa bila mengenangkan Zetty yang kelelahan akibat terlalu terperanjat. "Kenapa kau suka buat benda macam ni..? Kau tak takut ke kalau satu hari nanti kau terkena pulak..? Manalah tau kau nak kenakan orang, rupanya kau tersakat 'benda' lain.. macam cerita Ju-on tu.. Eeeee.. tak sanggup aku nak bayangkan..", Zetty cuba menasihati Miki. "Kau ingat aku ni pengecut macam kau ke..? Sorrylah sis.. kalau aku jumpa Ju-on tu, aku ajak dia dating kat taman sekolah.. nanti aku mintak autograph dia sekali ye..? Nak?", Miki membalas dengan angkuh.


Memang belakang bengkel kimpalan dan bengkel mesin itu agak 'keras'. Cikgu Zainuddin, guru kursus kimpalan sendiri pernah menceritakan dirinya pernah terserempak dengan makhluk halus di situ. Malam itu dia mendapat maklumat, ada segelintir pelajar akan keluar dari asrama melalui belakang bengkel itu. Cikgu Zainuddin mengajak cikgu Azlan bersama untuk menangkap pelajar-pelajar nakal pada malam itu namun, lain pula yang terjadi. Kata cikgu Zainuddin, dia nampak ada beberapa pelajar dalam bilangan yang kecil sedang memanjat pagar betul-betul di belakang bengkel kimpalan. Tetapi apabila dia bergegas ke situ, kumpulan pelajar tadi hilang dan yang paling memeranjatkannya, kumpulan pelajar itu berada di tempat dia berdiri sebelumnya. Sekali lagi dia berkejar ke situ namun kumpulan itu hilang lagi. Kejadian yang sama berlaku. Kumpulan pelajar itu kelihatan sedang memanjat pagar betul-betul di tempat dia berkejar sebentar tadi. Kesudahannya cikgu Zainuddin dan cikgu Azlan balik saja ke kuarters masing-masing. Cerita kedua-dua guru vokasional itu benar-benar menyeramkan. Tambahan pula kedudukan asrama itu yang jauh dari perumahan dan bandar. Yang ada cumalah kilang-kilang serta hutan.

Tetapi itu sedikitpun tidak menyebabkan Miki berganjak dari keputusannya yang hendak menyamar sebagai hantu di belakang bengkel itu. Miki sememangnya tahu malam itu pelajar-pelajar tingkatan lima sedang membuat latihan kimpalan setelah diberi kebenaran oleh pengetua sekolah. Peluang yang ada tak mungkin akan dia lepaskan. Zetty yang turut berada dalam kelas kimpalan bagai satu anugerah buat diri Miki. Berbekalkan kain cadar katil putih serta alat solekan, Miki menuju ke belakang bengkel secara curi-curi kerana perjalanan ke sana terpaksa menempuh rumah guru-guru. Setelah sampai, Miki dengan segera menyolek dirinya dengan bedak padat dan gincu merah menyala seakan-akan pontianak. Melilit tubuhnya dengan cadar supaya kelihatan seperti hantu bungkus dan kemudiannya bersandar di dinding belakang bengkel menunggu mangsa. Tetapi kali ini Miki berasa agak lain sedikit. Suasana di situ agak suram dan kurang menyenangkannya. Dibuangnya perasaan aneh itu jauh-jauh. Dia cuma mahu membuat 'kejutan' untuk mangsanya. Di dalam fikirannya terbayang bagaimana Zetty berlari sampai tertanggal kain pabila terlihat dirinya nanti. Baru saja dia hendak tersenyum, kelibat Zetty menghampiri bengkel kimpalan pun kelihatan. Tetapi yang menjadi kehairanan, hanya Zetty seorang saja yang kelihatan. "Mana yang lain..? Kata satu kelas ada training..? Berani pulak dia ni datang sorang-sorang..?", Miki bertanya dalam hati.


"Ahh.. bagus jugak !! Lagi senang kerja aku.. menjeritlah kau lepas ni..", Miki ketawa dalam hati. Dia merapati Zetty yang sedang duduk di tangga berhampiran dengan tandas. Perlahan-lahan dia melangkah untuk mengelakkan daripada Zetty perasan akan kehadirannya. "Kalau tidak buat penat jelah aku rancang semua ni..", ujarnya lagi di dalam hati. Tinggal hanya beberapa inci sahaja lagi kedudukan Miki dan Zetty, tiba-tiba Zetty berpaling ke belakang. Apa yang memeranjatkannya ialah wajah Zetty yang seumpama orang tua dan berkedut di sana-sini. 'Zetty' dihadapannya bukanlah orang yang selama ini dia kenal sebagai orang yang 'cemerkap'. Makhluk ini amat menakutkannya. "Kau nak jadi kawan aku tak..?, kita boleh menyakat sama-sama..", 'Zetty' bersuara dengan nada yang garau. Lebih mengerikan lagi, makhluk yang meyerupai Zetty itu mengesot-ngesot menghampiri Miki yang ketakutan separuh nyawa. Begitu serupa dengan hantu Ju-on yang dibualkannya bersama Zetty siang tadi. Semakin lama semakin hampir malah tangan makhluk itu memegang kemas pergelangan kakinya. Terasa sejuk dan berlendir. Akhirnya Miki menjerit sekuat hati memecah kesunyian malam.


Seluruh asrama gempar. Kehilangan Miki betul-betul membuatkan seluruh asrama blok F iaitu asrama puteri kecoh. Orang yang mula-mula perasan akan kehilangan Miki tak lain tak bukan ialah sahabat karibnya sendiri Zuliza. Warden asrama diberitahu dan gerakan mencari dimulakan. Sehingga pukul tujuh malam, bayang Miki tidak kelihatan di mana-mana pun. Zetty yang sedari tadi hanya menyepikan diri tiba-tiba bersuara, "Agaknya dia pergi ke belakang bengkel kimpalan kot cikgu..". "Mana kamu tahu..?", cikgu Azid bersuara. "Sebab semalam dia ada cakap dengan saya, dia nak pergi ke situ nak menyamar jadi hantu..", Zetty menjawab pertanyaan dari cikgu Azid. "Yang perempuan, balik ke asrama.. saya dan cikgu Zainuddin akan ke sana.. saya nak lima pelajar lelaki tolong saya mencari sama..", ujar cikgu Azid lagi. Zetty dan Zuliza hanya mampu memerhatikan ketujuh-tujuh orang itu berjalan menuju ke bengkel. Mereka pun pulang ke asrama setelah cikgu Aina puas memujuk. Tetapi apa yang memeranjatkan mereka, kumpulan yang mencari Miki di belakang bengkel tidak menjumpai apa-apa atau sesiapapun selain hanya satu beg berisi alatan solek berwarna merah. "Itu beg solek Miki..!! Saya kenal sangat dengan beg tu..", Zuliza separuh menjerit. Tetapi warden memaklumkan mereka tidak menjumpai apa-apa selain beg itu. Zetty dan Zuliza menangis semahu-mahunya sehingga cikgu Aini terpaksa memapah mereka dengan bantuan beberapa pelajar perempuan masuk ke bilik rawatan. Misteri kehilangan Miki tidak dapat dirungkai sehingga kini... Sekian.

No comments:

Popular Posts