Search This Blog

Loading...
Your Ad Here

terkini

26 January 2009

Asia Selatan lubuk ular berbisa





Kira-kira 20,000 orang mati dipatuk reptilia setahun

SEBUT saja ular pasti ramai yang bukan saja berasa geli, tetapi tidak kurang yang gerun dengan reptilia ini, khususnya yang jenis berbisa kerana mampu membunuh dengan cuma satu patukan saja.

Namun, tahukah anda di pelusuk mana dunia yang menjadi lubuk maut reptilia ini? Pasti ramai yang menuding ke arah Amerika Selatan, khususnya di hutan belantara Amazon yang diketahui antara hutan tertua dengan pelbagai spesies berbisa menjadikan kawasan ini habitatnya. 


Andai itu jawapan anda, terbukti sangkaan anda meleset sama sekali. Ini disebabkan lubuk ular itu terletak di kawasan yang amat hampir dengan kita iaitu di kawasan Asia Selatan.

Inilah hasil laporan kajian terbaru ke atas 68 negara yang menunjukkan Asia Selatan menjadi lubuk patukan ular tertinggi di dunia iaitu kira-kira 421,000 orang dipatuk setiap tahun!

Lebih menakutkan, patukan itu meragut kira-kira 20,000 nyawa setahun, kata kajian sekumpulan penyelidik Sri Lanka yang disiarkan edisi terbaru Public Library of Science Medicine, media yang berpejabat di Amerika Syarikat.

India yang didiami lebih satu bilion penduduk, menjadi negara yang mencatatkan kes patukan maut atau biasa yang tertinggi di dunia iaitu 80,000 kes setahun. Daripada jumlah itu, 11,000 kes menyebabkan maut.

Sri Lanka pula menduduki tempat kedua dengan 33,000 orang dipatuk ular setahun.

Anehnya, sebahagian besar mangsa adalah lelaki. Ini mungkin berkaitan dengan faktor golongan itu yang lebih ramai bekerja mencari rezeki berbanding kaum wanita.

Saintis Universiti Kelaniya di Sri Lanka, Janaka De Silva yang mengetuai penyelidikan itu bagaimanapun menegaskan bilangan 421,000 kes patukan ular itu hanyalah anggaran kasar dan jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

“Ini disebabkan kes dipatuk ular berbeza mengikut faktor geografi dan bermusim dan tidak ramai yang membuat laporan rasmi apabila menjadi mangsa.

“Lebih sukar lagi, rawatan bagi mengatasi kes berkenaan juga berbeza antara perubatan moden, tradisional serta amalan masyarakat setempat itu sendiri,” katanya.

De Silva berkata, ancaman dan impak sebenar kesihatan akibat dipatuk ular itu juga tidak diketahui.

Ini sekali gus menyukarkan pegawai kesihatan umum memaksimumkan kaedah pencegahan dan rawatan akibat dipatuk ular di negara masing-masing.

Namun sejauh manakah daripada kita yang benar-benar mengenali reptilia yang pada bila-bila masa dan secara tiba-tiba boleh muncul di kawasan belukar berhampiran rumah atau sama-sama berenang ketika mengharungi banjir?

Percaya atau tidak, ada kira-kira 3,000 spesies ular yang menghuni dunia ketika ini dan 600 daripadanya adalah jenis berbisa.

Ia boleh wujud di mana-mana di dunia, dari Britain, Afrika hinggalah ke Australia, kecuali di Antartika yang diketahui mempunyai cuaca sejuk yang amat ekstrim.

Ini disebabkan haiwan berdarah sejuk itu tidak boleh hidup di kawasan sejuk.

Ular berkongsi spesies keluarga ‘Squamata’ seperti biawak dan disifatkan reptilia paling muda. Ia melalui proses evolusi yang menyaksikannya kehilangan kaki seperti yang kelihatan sekarang.

Ular jenis Ananconda Hijau dikatakan yang terbesar iaitu panjangnya mencecah 8.8 meter dan beratnya, 227 kilogram. Lebarnya pula adalah kira-kira 30 sentimeter dan ia hidup di kawasan sekitar lembah Sungai Amazon dan Orinoco.

Pada Ogos lalu, dunia dikejutkan dengan penemuan apa disifatkan spesies ular terkecil dunia di Kepulauan Barbados. Saiznya tidak melebihi cacing tanah dengan panjangnya kira-kira 10 sentimeter. Ular berwarna perang itu bagaimanapun memakan mangsa dan disenaraikan sebagai tidak berbisa.

Hakikatnya, baik ular tedung yang diketahui paling berbisa dan anaconda si gergasi ular sama ada yang boleh dilihat hinggalah ke dalam filem, reptilia ini terlalu rapat dengan manusia. Ada yang menjadikannya peliharaan, tidak kurang yang menganggapnya sebagai musuh berikutan patukan bisa serta kuasa belitan si ular sawa yang boleh membawa maut.

Apa yang pasti, setiap kali ada berita mengenai ular, ia pasti menarik minat ramai yang mahu mengenali reptilia yang gaya gerakannya kelihatan menarik tetapi mampu meragut nyawa dengan hanya satu patukan.

INFO

Menarik mengenai ular


  • Ular terbesar jenis Anaconda Hijau yang panjangnya boleh mencecah 8.8 meter

  • Ular terkecil di dunia ditemui di Kepulauan Barbados, dengan panjangnya kira-kira 10 sentimeter

  • Boleh hidup tanpa sebarang makanan selama beberapa hari hingga beberapa bulan kerana kadar metaboliknya yang rendah, selepas sekali makan

  • Menjadi semakin aktif apabila cuaca bertambah panas

  • Bisa ular digunakan bagi menghasilkan anti bisa dan ubat penyelamat nyawa yang lain

  • Sukar membezakan ular jantan dan betina

  • No comments:

    Popular Posts