Search This Blog

Loading...
Your Ad Here

terkini

26 January 2009

Burung nasar berbulu putih makin pupus




Burung yang gemar makan bangkai pupus disebabkan ‘diclofenac’ sejenis ubat anti bengkak yang digunakan untuk haiwan ternakan

BURUNG nasar Asia yang hidup di habitat liarnya mungkin pupus dalam tempoh 10 tahun lagi kecuali langkah diambil bagi menghentikan penggunaan ubat berasaskan kimia terhadap haiwan ternakan.

Satu kajian yang dijalankan pakar menunjukkan, populasi satu daripada spesies burung nasar berbulu putih dikenali 'white back' sudah merosot sebanyak 99.9 peratus sejak 1992.


Saintis yang menjalankan kajian berkata, India misalnya, sudah pun mengharamkan pengeluaran ‘diclofenac,’ sejenis ubat anti bengkak untuk lembu, tetapi bahan terlarang itu masih dijual dikalangan petani kerana harganya yang murah. Penemuan ini disiarkan jurnal ‘Bombay Natural History Society.’

Mereka juga mendapati, satu lagi spesies burung nasar bermuncung panjang merosot sebanyak 97 peratus dalam tempoh yang sama.

"Kami mendapati populasi kedua-dua spesies burung ini berkurangan kira-kira 16 peratus setiap tahun dan ini amat membimbangkan, terutama membabitkan spesies 'white back' yang berkurangan antara 45 peratus hingga 50 peratus setiap tahun," kata Dr Andrew Cunningham, yang turut mengambil bahagian dalam kajian itu.



Burung nasar raja betina dari Amerika Selatan.

Kumpulan saintis India dan British itu berkata, kemerosotan populasi haiwan itu secara mendadak adalah disebabkan ‘diclofenac’ yang terkandung dalam bangkai haiwan.

Dr Cunningham berkata, walaupun kerajaan India mengharamkan pengeluaran ubat itu pada 2006, ia tidak memberi banyak kesan positif.

"Kerajaan hanya melarang pengeluarannya untuk merawat haiwan, tetapi pengeluaran untuk tujuan perubatan manusia tidak terjejas dengan pengharaman ini. Kita akan mengambil masa yang panjang sebelum dapat memulihkan semula populasi burung ini," katanya.

Beliau berkata, kaedah merawat haiwan menggunakan ‘diclofenac’ juga tidak diharamkan dan ini menyebabkan ramai petani memilih ‘diclofenac’ daripada jenis yang digunakan untuk perubatan manusia dan tidak menggunakan jenis ‘diclofenac’ khusus untuk haiwan kerana harganya lebih murah.

Pihaknya juga mendapati ubat itu masih diimport daripada syarikat pengeluar di luar negara, sekali gus bermakna bekalan boleh diperoleh dengan mudah di pasaran.

Beberapa tahun lalu penyelidik berjaya mengenal pasti ubat alternatif dikenali ‘meloxicam’ yang tidak mempunyai kesan toksik terhadap burung nasar. Bagaimanapun, ia tidak mendapat sambutan kerana harganya dua kali ganda lebih mahal berbanding ‘diclofenac’.

Kini, harga bahan itu sudah menjadi lebih murah apabila semakin banyak syarikat mengeluarkan ubat pilihan yang selamat untuk burung nasar.

"Perbezaan harga bukanlah suatu masalah sekarang berbanding dua tahun atau tiga tahun lalu tetapi kesedaran umum terhadap perkara ini amat perlahan dan kami bimbang ia terlalu lewat untuk kita memastikan spesies burung nasar dapat terus hidup," katanya.

Kumpulan pemulihan alam sekitar baru-baru ini menubuhkan beberapa pusat pembiakan dalam kurungan bagi spesies burung nasar yang diancam kepupusan bagi membantu memulihkan populasinya.

Usaha ini diketuai Persatuan Sejarah Semula Jadi Bombay (BNHS) dengan kerjasama Inisiatif Darwin Britain dan disokong beberapa pertubuhan luar negara.

Salah sebuah pusat pembiakan itu berjaya menetaskan dua biji telur burung nasar spesies 'white back' dan bagi kumpulan pemulihan alam semula jadi itu, kejayaan yang dicapai amat menggembirakan mereka.

"Kedua-dua anak burung itu nampaknya sihat dan kami berasa amat gembira dengan kejayaan ini, tetapi kita memerlukan masa sekurang-kurangnya 15 hingga 20 tahun lagi sebelum dapat melepaskan burung nasar itu ke habitat asalnya," katanya.

Dr Cunningham berkata, usaha menangkap burung nasar 'white back' di habitat liarnya amat sukar kerana jumlah haiwan itu yang terlalu sedikit, berikutan itu pihaknya memberi tumpuan kepada usaha mencari sarang burung itu dan mendapatkan anaknya untuk dipelihara dalam kurungan.

"Bagaimanapun, burung nasar hanya matang selepas mencapai usia lima tahun manakala pembiakan biasanya hanya berjaya selepas dua atau tiga musim mengawan," katanya.

Dr Cunningham turut melahirkan kebimbangan kerana ‘diclofenac’ kini memasuki pasaran Afrika sebagai ubat haiwan.

"Afrika mempunyai spesies burung nasarnya sendiri yang hampir menyerupai spesies dari India dan Asia, jadi kami tahu risiko yang bakal dihadapi," katanya.

No comments:

Popular Posts