Search This Blog

Loading...
Your Ad Here

terkini

26 January 2009

Menara berputar: Bangunan unik


DYNAMIC TOWER Dubai yang bergerak setiap saat, seni bina kreatif terbaru daripada arkitek Itali.

Reka bentuk menyanggah tradisi, tarik perhatian dunia

APABILA menyebut bangunan, tentunya dibayangkan berciri pencakar langit, empat persegi, dikukuhkan dengan kerangka keluli selain dilengkapi tingkap kaca jernih.

Tingginya yang menyapu awan dengan keluasan menyamai berpuluh-puluh padang bola sedikit sebanyak mengehadkan imaginasi kita bahawa ada segelintir pencakar langit menawarkan seni bina pelik lagi menakjubkan.


Menara Bergerak, Dubai

Dilancarkan pada 24 Jun lalu, arkitek Itali, Dr David Fisher mengumumkan pembinaan menara pertama di dunia yang bergerak setiap saat. Bangunan yang menghadap ke laut itu dirancang didirikan di beberapa lokasi di dunia bermula dengan Dubai, Moscow diikuti New York.

Menurut Dynamic Group, syarikat yang akan membina bangunan yang dinamakan Dynamic Tower Dubai setinggi 420 meter itu bakal menempatkan 80 tingkat unit pangsapuri dengan keluasan 124 meter persegi manakala villa pula seluas 1,200 meter persegi. Setiap unit kediaman dilengkapi tempat meletak kereta dalam rumah.




BANGUNAN Bakul (Amerika Syarikat)

Keunikan seni bina menara itu adalah ciri aras lantai yang berpusing mengikut hala bebas sekali gus mewujudkan perspektif pandangan berbeza.

Dynamic Tower mesra alam dan bangunan pertama di dunia direka dengan keupayaan menjana elektrik sendiri melalui turbin angin yang dipasang di setiap tingkat.

"Setiap aras dijangka mengambil masa tujuh hari untuk disiapkan. Ini revolusi baru seni bina. Mulai hari ini, bangunan bukan lagi disempurnakan di tapak projek tetapi di kilang," katanya yang berpengalaman 30 tahun menzahirkan bangunan teknologi terkehadapan di bandar besar seperti London, New York, Hong Kong, Paris dan Dubai.

Bangunan Bakul (The Basket Building) di Amerika Syarikat

THE CROOKED HOUSE di Poland, menjadi tarikan pelancong.

Mulanya hanya angan-angan tetapi menjadi nyata apabila Dave Longaberger, pengasas syarikat Longaberger membina bangunan pejabat berbentuk bakul bertangkai.

Longaberger percaya itu adalah ilham terbaik daripadanya. Beliau yakin kewujudan bangunan itu akan menarik perhatian dan menambah rezekinya namun sebaliknya reputasi Longaberger jatuh merudum.

Bukan saja bank, arkitek malah syarikat pemaju mentertawakannya dan beliau dituduh cuba berlawak. Tidak cukup itu, pekerjanya juga lari meninggalkannya.

Longaberger bagaimanapun tidak berputus asa sebaliknya mengambil keputusan mengekalkan bangunan berkenaan. Cita-citanya termakbul apabila bangunan itu dibuka untuk operasi pada 17 Disember 1997.

The Dancing House, Republik Czech

Bangunan pejabat yang terletak di pinggir bandar Prague ini diilhamkan arkitek kelahiran Croatia, Vlado Milunic dengan kerjasama arkitek Kanada, Frank Gehry. Bangunan itu dibina di atas tapak bangunan bersejarah yang musnah ketika pengeboman Prague pada 1945. Kerja pembinaan bermula pada 1994 berakhir dua tahun kemudian.

Reka bentuk bangunan yang menyanggah tradisi itu menimbulkan kontroversi. Mujur Presiden Czech, Vaclav Havel, yang sekian lama menetap di sebelah tapak bangunan itu menyuarakan sokongan peribadinya. Dia yakin The Dancing House bakal menjadi pusat budaya tersohor.

Asalnya, dinamakan Fred and Ginger bersempena pewarisnya Fred Astaire dan Ginger Rogers. Namun ditukar selepas mendapati seni bina bangunan berkenaan mirip seorang perawan sedang berdansa.

Milunic dan Gehry menerapkan gaya Neo Baroque, Neo Gothic dan Art Nouveau yang menjadi tanda pengenalan seni bina bangunan di Prague. Restoran Perancis di puncak bangunan menawarkan pemandangan seluruh bandar.

Rumah Piano di China

Terletak di Wilayah An Hui, China. Untuk ke aras atas, pengunjung perlu menaiki tangga bergerak di dalam biola kaca. Bangunan ini menyediakan prospek cerah terhadap pelan pembangunan dan kemajuan bandar kerana mewujudkan daya tarikan baru pelancongan di daerah itu.

Pustaka Kansas City di Amerika Syarikat

Bangunan kutub khanah paling mengagumkan di Amerika Syarikat. Warga tempatan diberi peluang memilih judul buku yang memberi pengaruh besar terhadap bandar Kansas selain pernah memenangi anugerah untuk diabadikan pada dinding tempat meletak kereta.

Bangunan Robot (Thailand)

Bangunan yang terletak di zon perniagaan Sathorn, Bangkok ini sebenarnya ibu pejabat bank United Oversea. Diilhamkan arkitek Sumet Jumsai mewakili kecanggihan sistem pengkomputeran perbankan negara gajah putih itu.

Seni binanya menampilkan pertentangan gaya antara neo klasikal dan teknologi tinggi pasca moden.

Ciri muka bangunan yang landai, dilengkapi antena dan sepasang mata di bangunan teratas menjadikannya mirip robot gergasi.

Siap dibina pada 1986, bangunan ini menjadi contoh mutakhir seni bina moden di Bangkok. Kemunculannya meraih perhatian antarabangsa dan diberi kritikan membina.

Bangunan Biru di Belanda

Pihak pentadbiran Delfshaven, Rotterdam meminta Schildersbedrijf N&F Hijnen menyediakan pelan baru bagi bangunan terbiar yang bakal dirobohkan. Perjanjian dengan kawasan kejiranan di situ ialah warna biru bangunan berkenaan dikekalkan selagi belum ada pelan pembangunan baru.

Oleh kerana usia yang sudah berabad, seni bina bangunan ini dianggap paling ketinggalan zaman di Rotterdam. Malah kewujudannya langsung tidak diberi perhatian. Namun, sebaik ditambah satu lapisan lagi 0.002 milimeter cat biru, bangunan ini diisytiharkan paling popular di Rotterdam dan sering diabadikan dalam foto kenangan.

The Crooked House di Poland

Arkitek Poland, Szotynscy Zaleski, menzahirkan Crooked House seni bina pusat membeli-belah selepas mendapat ilham daripada ilustrasi dongeng kanak-kanak Jan Marcin Szancer.

Berkeluasan 4,000 meter persegi, pusat membeli-belah yang terletak di Rezydent, Sopot, Poland ini kini menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke Poland.

Sam Kee, bangunan paling nipis di Kanada.

Terletak di 8 West Pender Street ini adalah bangunan dua aras dengan ukur lebar cuma 1.5 meter. Sejarah bangunan ini sama luar biasa dengan struktur seni binanya.

Menurut cerita, Chang Toy pemilik hartanahnya diminta penduduk Vancouver menyerahkan seluas dua meter kawasannya untuk pembangunan Pender Street. Tiada ganti rugi diberikan sedangkan baki tanah tidak seluas mana. Toy kemudiannya mengupah seorang arkitek tampil dengan ilham binaan menakjubkan termasuk menjadi bangunan tunggal dilengkapi lorong pejalan kaki kaca di Chinatown.

Selain Dynamic Tower, bangunan kreatif di dunia di pilih oleh laman web http://www.oddee.com

FAKTA: Dynamic Tower

  • Setiap tingkat berpusing mengikut kelajuan berbeza.

  • 20 tingkat pertama memuatkan unit pejabat, tingkat 21 sehingga 35 menempatkan hotel mewah, 36 hingga 70 mengandungi unit kediaman pangsapuri dan 10 tingkat selebihnya menawarkan villa mewah.

  • Pembinaannya menuntut pembabitan 80 juruteknik dan 2,000 pekerja binaan.

  • Dilancarkan arkiteknya, David Fisher pada 24 Jun lalu dan dijangka siap menjelang 2010.

  • Impian Fisher membina bangunan menakjubkan ini menerima sokongan Naib Presiden Emiriah Arab Bersatu, Sultan Sheikh Mohammed Bin Rashid Al Maktoum.

  • Fisher mendapatkan kerjasama arkitek dan jurutera berpengalaman dari United Kingdom dan India.
  • No comments:

    Popular Posts