Search This Blog

Loading...
Your Ad Here

terkini

24 October 2009

Bayi ajaib.....hasil perbuatan tak semengah....



KOTA TINGGI: Nyawa seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat masih panjang walaupun dia disumbat dalam sebuah beg tangan wanita selepas dilahirkan sebelum ditinggalkan di atas lantai bilik air tingkat tiga sebuah hotel bajet di sini, malam kelmarin.

Ini berikutan tindakan pantas seorang lelaki yang menyewa bilik hotel itu cepat memaklumkan kepada kakitangan hotel berkenaan sebaik terdengar tangisan bayi.

Bayi malang yang ditemui bersama uri berdarah itu kemudian segera diselamatkan kakitangan hotel terbabit sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Osman Muhammad Sebot, berkata sebaik menerima maklumat daripada kakitangan hotel, sepasukan anggotanya dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian itu disedari seorang penyewa bilik hotel berkenaan apabila mendengar tangisan bayi ketika mahu keluar bilik, kira-kira jam 9 malam.

Menurutnya, lelaki berkenaan memaklumkan dia terdengar bunyi tangisan dari bilik air di tingkat tiga hotel sebelum meninjau dan menemui bayi perempuan dalam beg tangan di lantai dan memaklumkan kepada kakitangan bertugas.

“Bayi itu dibalut dengan kain bercorak dipercayai cadar yang dipotong dan dilapiskan dengan beg plastik sebelum dimuatkan dalam beg kecil,” katanya.

Katanya, polis kemudian menyerahkan bayi berkenaan kepada Unit Kecemasan Hospital Kota Tinggi untuk pemeriksaan kesihatan.

Beliau berkata, bayi dipercayai dilahirkan antara jam 6 petang hingga jam 8 malam hari kejadian kemudian dirujuk ke Wad Bersalin dan Kanak-Kanak sebelum dibersihkan kesan darah dan dipotong tali pusat.

“Bayi seberat 2.1 kilogram berkulit cerah itu kini diletakkan di bawah jagaan hospital dan polis masih menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk punca bayi malang itu ditinggalkan di hotel terbabit.

“Kami tidak menolak kemungkinan bayi itu diseludup masuk individu yang bersubahat termasuk kemungkinan teman lelaki kepada ibu bayi itu.

“Identiti mereka yang bertanggungjawab masih belum dikenal pasti dan semua bahan bukti dikumpul bagi membantu siasatan,” katanya yang ditemui ketika melawat bayi terbabit bersama isterinya di HKT.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana meninggal atau membuang kanak-kanak dalam keadaan terbiar.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07-8831222 atau 07-8837222 bagi membantu siasatan.

No comments:

Popular Posts