Search This Blog

Loading...
Your Ad Here

terkini

05 November 2009

Beli kereta melalui blog



LAMAN sembangkereta yang cukup ringkas dan mudah dibaca memberikan keselesaan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai info berkaitan kereta.

MUNGKIN ada di antara kita tidak berkesempatan untuk meluangkan masa mengunjungi bilik pameran kereta. Anda tidak perlu risau. Ini kerana dengan kecanggihan teknologi, segala yang anda ingin tahu ada di hujung jari.

Anda bukan hanya dapat membeli pakaian atau kek melalui Internet tetapi jualan kereta melalui blog turut tidak sukar untuk diperoleh. Sambil melakukan tugasan harian di pejabat, luangkan sedikit masa untuk melayari http://sembangkereta.blogspot.com.my.

Blog itu memuatkan pelbagai jenama kereta yang bukan tertumpu kepada Proton atau Perodua sahaja. Justeru, bagi mereka yang masih tercari-cari peluang terbaik untuk membeli kenderaan dengan tawaran harga menarik, anda hanya perlu klik ke laman blog tersebut.

Menurut pemilik blog sembangkereta, Kamarudin Ramly, 41, blog yang hampir setahun ditubuhkan itu bertujuan menambah pendapatan bulanannya.

Katanya, pemerhatiannya membuktikan bahawa pengiklanan di laman blog kini banyak mendatangkan keuntungan.

Ini kerana jelasnya, rata-rata masyarakat masa kini banyak menghabiskan masa di hadapan komputer.

"Kebanyakan pengguna hari ini tidak sempat mengunjungi sesuatu tempat bagi mendapatkan barangan yang diingini.

"Justeru, ramai orang lebih suka mendapatkan maklumat melalui Internet sebelum mereka datang sendiri ke sesuatu tempat. Biasanya, pengguna hari ini akan membandingkan harga di kedai-kedai berbeza.

"Kemudian, barulah mereka akan menelefon atau datang sendiri untuk berjumpa dengan wakil penjual," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Lebihkan gambar

Memiliki kerjaya tetap sebagai jurujual kereta, Kamarudin merasakan dirinya perlu berusaha lebih gigih dengan mencari jalan lain yang sesuai untuk menambah pendapatan.

Berani berhadapan dengan risiko, dia mengakui bidang yang diceburinya kini amat jauh berbeza dengan apa yang dipelajarinya di kampus.

Memiliki ijazah dalam bidang perakaunan ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Kamarudin pernah menyandang jawatan sebagai akauntan selama beberapa tahun sebelum mengambil keputusan untuk bersara dan serius menjual kereta.

"Bukan senang untuk beralih angin dan meninggalkan kerjaya lama. Tetapi disebabkan ingin meningkatkan taraf hidup, saya yakin semuanya mampu dilaksanakan," katanya yang baru tiga tahun berkecimpung dalam urusan jual beli kereta.

Selepas rancak berbual mengenai latar belakangnya, penulis mula bertanyakan tentang input yang dimuatkan di dalam blognya. Menurut Kamarudin, blognya lebih mementingkan gambar.

Beliau berpendapat, pengunjung blog lebih gemar melihat gambar berbanding membaca maklumat yang terlalu padat. Namun, itu tidak bermakna blognya tiada langsung maklumat bertulis mengenai kereta yang ada di pasaran dan perbincangan mengenai proses jual beli. Katanya, maklumat penting tetap dinyatakan dengan jelas di dalam blognya.

Potongan harga

Anda mungkin tertanya-tanya mengapa ada di antara kereta yang diiklankan itu mempunyai tawaran harga yang menarik dan sebaliknya.

Kamarudin menjelaskan, sebenarnya pengunjung blog perlu bertanyakan kepada jurujual kereta sama ada harga kereta yang ingin mereka beli itu diberi diskaun atau tidak.

"Sekiranya bernasib baik, mereka mungkin dapat berhubung dengan jurujual yang boleh bertolak ansur. Jadi, kemungkinan besar kereta yang ingin dibeli boleh diberi diskaun.

"Orang ramai tidak perlu segan untuk bertanyakan diskaun setiap kali ingin membeli kereta. Ia lebih kepada budi bicara jurujual itu sendiri. Tetapi, ia juga tertakluk kepada harga pasaran," katanya lagi.

Antara jenama kereta yang boleh anda pilih menerusi blog sembangkereta adalah Mitsubishi, Honda, Suzuki, Toyota dan Nissan. Mudah sahaja, hanya sekali klik, anda dapat melihat paparan harga bagi setiap kenderaan tersebut.

Selain itu, orang ramai boleh menikmati diskaun bagi Perodua MPV yang kini dibuka untuk tempahan. Harga yang ditawarkan adalah antara RM56,000 hingga RM66,000. Model MPV itu dikatakan dihasil berdasarkan model Toyota Passo Sette atau dalam versi Daihatsu, Daihatsu Boon Luminas.

"Saiznya lebih kecil daripada Proton Exora. Manakala enjinnya berkapasiti 1,500cc dengan penggunaan petrol mencecah 15.6km bagi setiap liter," katanya.

Panggilan telefon

Tidak dinafikan bahawa sejak tertubuhnya blog itu, Kamarudin kerap menerima panggilan telefon daripada orang ramai, sekurang-kurangnya lima panggilan sehari untuk mengetahui butiran lanjut mengenai harga kereta.

Bagaimana pula dengan tanggapan orang ramai yang melayari blognya itu apabila melihat harga yang ditawarkan tidak seperti di kedai-kedai lain?

Kamarudin mengakui dia ada menerima panggilan daripada pembeli yang tidak percaya dengan harga yang dinyatakan. Mereka juga bimbang jika kereta tersebut mempunyai kerosakan.

"Saya akan ajak pembeli tersebut datang dan tengok sendiri kereta yang mereka mahukan di bilik pameran. Kemudian, saya akan jelaskan kenapa ia murah dan sebagainya," ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, pengunjung boleh menghubungi terus nombor telefon bimbit dan pejabat yang tertera di laman sembangkereta.

No comments:

Popular Posts