Search This Blog

Loading...
Your Ad Here

terkini

12 November 2009

Civic Hybrid




MEMANDU jentera berjenama mewah seperti Honda memang menjadi impian pemandu, apatah lagi model itu didatangkan dengan teknologi terkini seperti hibrid.

Model hibrid menjadi idaman setiap pemandu dan langkah Honda memperkenalkan model Civic Hybrid ini tepat pada masanya.

Peluang memandu uji model itu baru-baru ini membuktikan Honda mampu menghasilkan jentera berkuasa, jimat minyak dan berteknologi tinggi sebaris model enjin konvensional lain yang berkapasiti lebih besar.

Model berkuasa 1,339 cc ini dibantu sistem Integrated Motor Assist (IMA) pintar yang membolehkan penggunaan petrol diminimumkan.

Apabila pedal brek ditekan, enjin petrol akan berhenti beroperasi dan segala 'tanggungjawab' itu diserahkan kepada sistem IMA.

Sistem ini akan mengecas semula tenaganya apabila kereta bergerak semula dan pemandu boleh melihat tahap kuasa bateri di papan pemukanya.

Walaupun bersifat hibrid, Civic Hybrid tiada bezanya daripada model Civic 1.8L dan 2.0L generasi kelapan, hanya dibezakan melalui warna dan bentuk rim sport.

Terbaru, model ini dipadankan dengan perumah lampu hadapan gelap menjadikan ia kelihatan sporty dan menarik.

Lampu isyarat membelok pada cermin sisi selain lampu belakang LED berbentuk oktagon menyamai model Civic biasa.

Paparan meter dua tingkat kemas menghiasi ruang hadapan pemandu manakala tombol audio dan penyaman udara digital disusun teliti pada bahagian tengah kokpit.

Rekaan papan pemuka dua tingkat yang memisahkan panel meter kepada dua bahagian iaitu meter kelajuan digital, takat minyak dan suhu diletakkan pada bahagian atas manakala bahagian bawah dihuni meter putaran enjin serta kuasa motor IMA.

Konsul tengah menempatkan beberapa ruang bertutup untuk pemandu menyimpan barangan peribadi selain ruang barang di bawah tempat meletak tangan.

Kuasa Civic Hybrid sangat mengagumkan walaupun jentera ini digerakkan dengan enjin 1.3 liter i-VTEC.

Ketika memecut, kuasa elektrik turut membantu menggerakkan enjin manakala bateri akan mengecas semula kuasanya apabila kenderaan bergerak dalam keadaan sekata atau pedal minyak dilepaskan.

Kuasa dihamburkan ketika mendaki bukit memang terasa mengagumkan walaupun terdengar enjin sedikit mengaum.

Walaupun jentera ini berkuasa 1.3L, tambahan kuasa motor elektrik IMA menjadikan kuasanya menyamai Civic 1.8L, tetapi dengan penggunaan minyak yang 50 peratus lebih baik.

Mengagumkan apabila sistem transmisi CVT tidak terasa ketika pertukaran gear termasuk ketika kuasa elektrik membantu enjin menjana kuasa tambahan.

Ruang dalamannya dipadankan dengan fabrik berwarna gelap manakala semua panel plastik juga berwarna hitam.

Penggunaan warna gelap menjadikan Civic Hybrid ini lebih bersih berbanding warna cerah selain kelihatan lebih sporty.

Ruang tempat duduk selesa untuk lima penumpang dewasa manakala tahap NVH rendah menjadikannya model selesa untuk perjalanan jauh.

Keselesaan pemanduan dan pengendalian kenderaan lebih stabil dengan penggunaan teknologi dwiwishbone bagi suspensi belakang, disempurnakan dengan penggunaan tegas MacPherson pada bahagian depan.

Pengambilan selekoh tetap stabil disesuaikan dengan kuasa pemberhentian mencukupi gabungan sistem pengagihan brek elektronik EBD bersama bantuan brek (BA) dan sistem brek antikunci ABS.

Jika mahukan pemaduan sporty, model pandu uji ini dipadankan dengan mod Sports (S).

Sepanjang memandu uji di laluan berbukit, lebuh raya dan kesibukan kota, model ini mampu bergerak sehingga lebih 500 km dengan satu tangki isian penuh petrol.

Kesimpulannya, model Civic Hybrid terbaru ini bakal mendapat sambutan berdasarkan faktor mesra alam, bergaya, sporty dan paling utama pastinya tahap penjimatan bahan api terbaik.

SPESIFIKASI

ENJIN: 1,339 cc SOHC Empat Silinder i-VTEC dengan IMA

KUASA MAKSIMUM: 70 kW pada 6,000 rpm (enjin), 15 kW pada 2,000 rpm (motor)

TORK MAKSIMUM: 123 Nm pada 4,600 rpm (enjin), 103Nm pada 0-1,160 rpm (motor)

TRANSMISI: CVT dengan Grade Logic Control

CIRI KESELAMATAN: Dwi SRS, beg udara sisi, ABS, BA

HARGA: RM 129,980 termasuk insuran

Tayar yang dicadangkan: ComfortContact-1 195/65 R15 91V

No comments:

Popular Posts