Search This Blog

Loading...
Your Ad Here

terkini

22 November 2009

Droid saingan iPhone


TELEFON bimbit Droid (kanan) mempunyai ciri-ciri yang mampu menyaingi iPhone (kiri).

APABILA bercakap tentang telefon bimbit, iPhone pastinya menduduki tempat teratas antara pengeluar telefon bimbit di dunia. Teknologi yang digunakan dengan reka bentuk unik membuatkan nama telefon keluaran Apple ini sering meniti di bibir para penggemar gajet digital.

Sejak diperkenalkan beberapa tahun lalu, pengeluar telefon bimbit lain berlumba-lumba menghasilkan produk yang sering dilapor sebagai pesaing iPhone, tetapi setelah diuji hampir kesemuanya indah khabar dari rupa.

iPhone bukan sekadar menawarkan telefon yang mempunyai skrin sesentuh, tetapi keupayaan sistem operasi dan aplikasi yang ditawarkan turut menjadi sebab utama mengapa ramai yang terpaksa akur dengan keistimewaannya. Namun, dengan kemunculan Droid keluaran Motorola, adakah pandangan pengguna akan berubah?

Sama ada anda sedang mencari-cari telefon baru dengan ciri yang sofistikated, yang bukan sekadar untuk membuat panggilan telefon atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) sahaja, atau anda sememangnya seorang yang kerap menukar telefon, anda mungkin mahu 'berkenalan' dengan Droid.

Agak sukar untuk mengagak pengeluar Droid jika hanya melihat luarannya. Sekali imbas, ia seakan telefon bimbit PDA seperti HTC. Setelah bertahun agak ketinggalan di dalam industri ini, syarikat yang suatu ketika dahulu popular dengan telefon RAZR itu mengambil beberapa langkah bijak, salah satunya dengan menggunakan Android sebagai platform.

Dengan Droid, Motorola telah berjaya menghasilkan telefon yang menarik dan memiliki teknologi yang terkini dalam memastikan survival mereka dalam dunia telekomunikasi. Motorola juga telah berjaya membentuk persepakatan dengan Verizon, penyedia khidmat selular yang terkenal di Amerika Syarikat



MEMILIKI ciri-ciri gelongsor pada skrin dan papan kekunci QWERTY.

Droid mempunyai beberapa ciri yang terdapat pada iPhone seperti memori 16GB, WiFi, capaian 3G dan fungsi GPS binaan dalam. Dari sudut kamera, Droid memiliki kamera lima megapiksel berbanding iPhone 3GS yang didatangkan dengan kamera tiga megapiksel. Namun begitu, dari sudut aplikasi, iPhone mempunyai sokongan yang kuat dengan lebih 100,000 aplikasi berbanding Droid yang baru memiliki sekitar 10,000 aplikasi.

Dihasilkan menggunakan kombinasi material plastik dan keluli, secara zahirnya Droid mempunyai binaan yang kelihatan lebih utuh. Struktur asas telefon ini terdiri daripada dua bahagian utama iaitu skrin paparan berukuran 3.7 inci di bahagian hadapan dan papan kekunci QWERTY yang boleh ditolak keluar apabila hendak digunakan dan ditolak masuk untuk menyembunyikannya apabila tidak digunakan.

Motorola Droid mempunyai perbezaan ketebalan yang begitu sedikit, 13.77mm berbanding ketebalan iPhone 3GS iaitu 12.33mm. Namun begitu, Droid mempunyai kelebaran yang kurang berbanding iPhone. Sungguhpun kenipisan sesebuah telefon sering dijadikan aspek perbandingan, Droid boleh diberikan pengecualian kerana ia dilengkapi dengan skrin beresolusi lebih tinggi dan papan kekunci.

Seperti iPhone, ia juga memiliki ciri gelongsor pada skrin untuk akses pantas ke skrin utama yang menempatkan pintasan ke aplikasi kegemaran anda. Selain itu, terdapat empat butang yang memberikan capaian pantas ke fungsi-fungsi yang sering digunakan seperti menu dan skrin utama.

Ciri carian menerusi arahan suara juga terdapat pada Droid. Anda cuma perlu menekan butang carian dan sebutkan perkataan yang ingin dicari dan carian akan dibuat oleh Google tanpa memerlukan anda menaip di pelayar web seperti yang lazim dilakukan.

Sekiranya anda tercari-cari telefon yang pantas, Droid wajar diberikan perhatian kerana kemampuannya untuk melakukan pelbagai tugas. Namun peminat gajet di Malaysia mungkin harus bersabar sedikit kerana buat masa ini, telefon itu baru dipasarkan di Amerika Syarikat. Ia sama seperti gajet-gajet lain yang sering dipasarkan di negara Barat sebelum menemui peminat mereka di Asia khususnya di negara kita.

No comments:

Popular Posts