Search This Blog

Loading...
Your Ad Here

terkini

09 November 2009

Karat cacat kenderaan

MASALAH karat sentiasa menghantui pemilik kenderaan kerana ia boleh mencacatkan badan jentera.

Karat boleh berlaku melalui pelbagai cara, daripada kesan calar kecil yang tergores akibat perlanggaran dengan troli membeli-belah sehinggalah kesan tebuk kecil yang menembusi badan kereta.

Kebiasaannya, logam yang digunakan untuk membina badan kereta adalah teguh serta kuat dan tahan sepanjang hayat jika dilindungi dengan betul.

Tetapi, jika membiarkan bahagian ini terdedah pada unsur pencemaran alam, ia boleh membentuk kesan karat serius.

Kesan karat yang tidak dikawal akan merebak, malah jika tidak diambil peduli, kos membaik pulih kesan karat menjadi mahal.

Karat berlaku apabila ada kesan kelembapan pada logam binaan kereta. Walaupun bahagian logam binaan kereta dilindungi lapisan cat dasar dan lapisan cat metalik, dalam jangka masa panjang kesan calar akibat goresan atau pergeselan batu kecil boleh menyebabkan lubang kecil dan merosakkan bahagian permukaan cat kereta.

Lubang kecil ini membolehkan air menembusi bahagian logam berkenaan dan berlaku karat.

Antara tanda karat adalah terbentuknya kesan gelembung kecil di bawah lapisan cat kereta dan pemilik kenderaan seharusnya tidak membiarkan masalah itu berlaku.

Semua kenderaan terdedah kepada elemen yang boleh menyebabkan karat terutama di bahagian bawah kereta.

Bahagian bawah ini akan mengalami goresan, bercalar dan berlanggar dengan pelbagai objek yang melaluinya. Namun, ada kenderaan yang kurang mengalami masalah berkarat kerana ia dilindungi lapisan cat dasar. Lapisan perlindungan ini dapat melindungi bahagian ini dalam jangka waktu satu hingga tiga tahun.

Pemandu yang tidak bertanggungjawab akan memandu dengan kasar dan tidak mempedulikan komponen penting pada kereta.

Jika bahagian bawah kereta kerap berlanggar dengan lubang atau bonggol jalan, ia akan menyebabkan komponen bawah seperti ekzos serta bawah enjin mengalami perlanggaran yang kerap.

Ia boleh menyebabkan kesan bocor dan akan bermula daripada lubang kecil sehingga menjadi lebih besar.

Apabila beberapa bahagian tertentu kenderaan berkarat, kereta perlu diperbaiki sebelum ia menjadi lebih teruk.

Jika mengesan tanda karat, buang dengan pisau kecil. Kikis kesan karat itu bersama lapisan cat. Lakukan dengan cermat dan teliti supaya tidak kena bahagian lain.

Selepas itu, bersihkan bahagian itu menggunakan air suam dan sabun pencuci khas kereta untuk menanggalkan kesan wax dan daki kekotoran. Untuk menutupi sebarang lubang yang terjadi, gunakan bahan tampalan (filler) berwarna putih atau warna tanah untuk diratakan di atas permukaan ini.

Apabila kering, gunakan kertas pasir untuk digosokkan pada permukaan bagi meratakannya. Lakukannya beberapa kali supaya bahagian ditampal rata.

Selepas permukaan yang dibaiki kering dan bersih, sapukan lapisan cat dasar yang bertujuan melindungi logam. Lapisan cat sebegini boleh memberi perlindungan berpanjangan bagi mencegah keadaan berkarat berulang.

Cat dasar perlu kering dengan betul sebelum menyapu lapisan cat kereta.

Ketika menyapu lapisan cat kereta, gunakan berus yang disertakan atau berus halus supaya dapat mengawal dan mengecat bahagian itu dengan teliti.

Biarkan lapisan cat kering sebelum diulangi sehingga lapisan permukaan kelihatan sama rata dan seimbang.

Untuk kereta sentiasa kelihatan baru, penyelenggaraan kereta dari peringkat awal penting.

Mencuci kereta memberi kebaikan tanpa disedari. Ketika mencuci, berikan sedikit perhatian pada bahagian roda serta tayar dan bahagian panel di belakang tayar. Sisa kekotoran akan melekap pada bahagian itu dan menyebabkan karat.

Ketika menyelenggara kereta, gunakan cecair pembersih yang sesuai untuk kereta dan penggilap yang berkualiti tinggi supaya lapisan permukaan cat tahan lebih lama.

Beberapa panduan lain yang boleh diguna pakai pemandu adalah seperti berikut:

  • Periksa selalu lubang saliran pada rangka, lantai dan bahagian bawah kereta supaya lembapan tidak terperangkap pada bahagian terbabit.

  • Pastikan kereta dicuci dan digilap dengan teratur untuk melindungi cat kereta.

  • Pastikan bahagian bawah kereta disembur dengan pancuran air yang kuat sebulan sekali.

  • Buangkan barangan atau objek yang menyerap kelembapan dari bahagian dalam kereta untuk mengelakkannya berkarat.

No comments:

Popular Posts