Search This Blog

Loading...
Your Ad Here

terkini

05 November 2009

Perluasan aplikasi TV dalam talian



APLIKASI televisyen dalam talian memudahkan pengguna menonton pelbagai program secara mobiliti.

KETIKA perkhidmatan televisyen satelit diperkenalkan di Malaysia tidak berapa lama dahulu, golongan masyarakat telah memberi pelbagai respons dan tanggapan berbeza mengenainya.

Ada yang mengatakannya ia satu pembaziran kerana mereka perlu membayar yuran langganan secara bulanan hanya untuk menonton televisyen sedangkan terdapat siaran yang disediakan secara percuma.

Ada juga yang beranggapan ia sukar untuk diimplementasikan kerana agak sukar pengguna menonton program televisyen dalam masa 24 jam.

Itu persepsi masyarakat ketika itu. Namun, perkembangan teknologi moden tanpa sempadan telah membuka lebih ruang kepada perkhidmatan tersebut untuk diterima baik oleh mereka.

Dengan sajian kandungan berkualiti dan memenuhi cita rasa pengguna, hasilnya, platform tersebut kini telah menjadi saluran hiburan dan komunikasi yang semakin mendapat permintaan tinggi.

Secara ringkasnya, pelaksanaan teknologi berkenaan melibatkan operasi sistem pemancar televisyen menerusi satelit komunikasi.

Penerimaan isyarat komunikasinya pula disempurnakan menerusi aplikasi piring uplink yang dihalakan pada lingkungan frekuensi tertentu.

Mengukuhkan lagi perkhidmatan tersebut, pengguna kini didedahkan pula dengan sistem penyiaran televisyen melalui prasarana rangkaian jalur lebar dikenali sebagai televisyen protokol Internet (IPTV).

Tidak seperti televisyen konvensional yang disambungkan menerusi format penyiaran menggunakan kabel, IPTV dapat ditonton oleh pengguna menerusi akses sambungan komputer.

IPTV menawarkan pengguna dengan pelbagai fungsi seperti aplikasi capaian web, penghantaran suara protokol Internet (VoIP) dan yang paling penting adalah paparan video atas permintaan (VOD).

Bagi yang kurang memahami bagaimana IPTV beroperasi, ia sebenarnya merupakan rangkaian perkhidmatan multimedia interaktif berasaskan protokol Internet bagi mengakses kandungan televisyen, radio, audio, teks, grafik dan juga data.

Untuk tujuan itu, ia memerlukan peranti seperti komputer, talian komunikasi dan dekoder media berasaskan perisian untuk disambung kepada televisyen.

Penyiaran IPTV boleh dipaparkan secara langsung dengan menggunakan teknologi IP Multicast atau menggunakan video permintaan dengan kaedah IP Unicast.

Terdapat pelbagai kelebihan ditawarkan oleh perkhidmatan IPTV. Antaranya, pengguna boleh menentukan sendiri siaran program yang ingin mereka tonton.

Menerusi pengalaman tontonan interaktif pula, pengguna ditawarkan dengan aplikasi seperti pilihan sudut kamera, rakaman program, permainan video dan akses laman web.

IPTV di Malaysia

n iBoxX

Di Malaysia, pembangunan serta perkembangan dimensi teknologi tersebut telah diterajui oleh beberapa syarikat komunikasi.

Mengambil contoh syarikat Broadway Digital Media Sdn. Bhd, mereka menyediakan platform penyelesaian bagi kandungan perkhidmatan IPTV yang dikenali sebagai iBoxX.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Boon Tan, fokus utama penyediaan aplikasi tersebut adalah untuk memperkenalkan industri teknologi media digital berasaskan sambungan jalur lebar Internet kepada umum.

''Sejak empat tahun lalu, kita telah memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi aliran video dan kandungan televisyen menggunakan platform IPTV.

''Metodologi dan teknologi ini disediakan khusus untuk membolehkan pengguna mengakses kandungan televisyen melalui fungsi protokol Internet,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

iBoxX didatangkan bersama peranti dekoder serta alat kawalan jauh sebagai medium capaian dalam talian bagi mengakses pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan.

Dekoder tersebut mempunyai kelebihan yang unik yang hanya memerlukan kelajuan Internet pada kadar satu megabit sesaat (Mbps).

Selain siaran televisyen, iBoxX juga dilengkapi dengan tambahan beberapa kandungan media alternatif seperti hiburan, pendidikan, direktori perdagangan dan sebagainya.

Ia merangkumi saluran siaran langsung televisyen tanpa had, saluran radio, maklumat membeli-belah, permainan video, karaoke, berita terkini, maklumat cuaca dan informasi trafik.

Apa yang lebih menarik, melalui aplikasi VOD, pakej filem serta dramanya boleh disiarkan mengikut permintaan pengguna.

Menerusi saluran membeli belah pula, ia memberi peluang kepada pengguna membuat perbandingan harga yang ditawarkan oleh beberapa pasar raya tempatan.

Untuk mengakses kesemua perkhidmatan berkenaan, pengguna hanya perlu memilih menu-menu yang disediakan pada paparan utama iBoxX seperti i-vod, i-music, i-pay, i-shop, i-serch, i-info atau i-fun.

''iBoxX bakal dikomersialkan pada awal tahun depan. Sebagai permulaan, sebanyak 15 saluran akan diperkenalkan dengan tawaran pelan skim pembayaran berpatutan,'' jelasnya.

Maklumat mengenai iBoxX boleh diperolehi dari laman web www.worldip.tv dan juga www.iboxx.tv.

n Hypp.tv

Sementara itu, syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi negara, TM, juga tidak ketinggalan dalam memperkenalkan perkhidmatan IPTV menerusi platform yang dikenali sebagai Hypp.tv.

Peringkat awal pelaksanaannya disasarkan daripada kalangan pengguna di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan juga Kedah.

Perkhidmatan IPTV komersial tersebut kini menawarkan lebih 30 saluran dan ia akan terus dipertingkatkan kepada 50 saluran menjelang akhir tahun ini.

Untuk mengaktifkan Hypp.tv, apa yang diperlukan pengguna hanyalah sambungan talian internet serta beberapa spesifikasi komputer yang sesuai.

Ia merangkumi aplikasi seperti Net Framework 2.0, Adobe Flash Player, Windows Media Player 9 dan ke atas serta Microsoft Internet Explorer 6.0.

n D'Channels

Bagi pengguna perkhidmatan talian komunikasi DiGi pula, mereka kini berpeluang menonton program televisyen secara mobiliti daripada telefon bimbit mereka.

Dikenali sebagai D'Channels, langganan saluran tersebut dibuka kepada semua pengguna DiGi dengan kadar caj RM14.90 sebulan.

Berbeza dengan perkhidmatan IPTV, televisyen mobiliti ini disokong oleh rangkaian akses melalui Perkhidmatan Radio Paket(GPRS) dan Evolusi Peningkatan Data Global (EDGE).

Lebih menarik lagi apabila aplikasi tersebut sesuai digunakan bersama banyak model telefon bimbit yang terdapat di pasaran.

Menerusinya, pengguna boleh menonton paparan program televisyen secara langsung dan juga VOD melalui sehingga tujuh saluran pilihan.

Untuk melanggan, pengguna hanya perlu menghantarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengikut kod yang telah ditetapkan.

Kemudian, mereka dikehendaki memilih sama ada untuk melanggan satu, tiga, lima atau tujuh saluran.

Bagi melanggan melalui WAP pula, pengguna perlu melayari laman vs.digi.com.my dan seterusnya memilih saluran yang diinginkan.

Maklumat lanjut mengenainya boleh diperolehi daripada laman web www.digi.com.my.

Tidak dinafikan implementasi teknologi IPTV ini mungkin berhadapan dengan sedikit kesukaran kerana bukan semua orang berkemampuan membeli komputer dan melanggan sambungan Internet secara bulanan.

Namun, dengan kekuatan dan kelebihan yang ditampilkan oleh perkhidmatan itu, percayalah, satu hari nanti ia akan menjadi trend hiburan dan komunikasi kegilaan ramai.

No comments:

Popular Posts