Search This Blog

Loading...
Your Ad Here

terkini

23 November 2009

Prestasi terbaik Nissan



KERETA kini bukan lagi barangan mewah, tetapi keperluan untuk bekerja atau tuntutan keluarga.

Sempena Perlumbaan Super GT Antarabangsa di Litar Sepang (SIC) lalu, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) melancarkan model Sylphy versi Impul yang menawarkan prestasi terbaik bagi jenama Nissan.


Peluang memandu uji model Nissan Sylphy Impul memberi impak tersendiri sebagai sebuah kenderaan keluarga yang sporty dan cantik bergaya.

Sylphy model kenderaan daripada segmen Kelas C yang bersaing bersama model popular lain seperti Honda Civic, Proton Waja dan Toyota Altis.

Bagaimanapun, faktor harga dan keluasan ditawarkan Sylphy menjadikannya kereta sedan sederhana paling berbaloi.

Kini, model berkenaan didatangkan dengan kit talaan Impul menawarkan pemanduan lebih agresif manakala penampilan lebih garang dan sporty.

Rupa luarannya cukup menggambarkan ciri yang perlu ada pada sebuah kereta untuk kelihatan bergaya dan berbeza.

Impul Motor Racing Development bukanlah calang-calang nama dalam perlumbaan, malah kehadirannya dalam Japan GT Series sudah cukup menggerunkan pasukan lain.

Aerokit penuh rekaan khas Impul yang membaluti keseluruhan badan Sylphy sangat bergaya dan mengubah fizikal model ini yang dikenali dengan nama Bluebird di Jepun.

Gril hadapan ala perlumbaan serta tambahan spoiler belakang menjadikan model berkenaan kelihatan segar.

Tubuhnya yang tegap kelihatan lebih sasa apabila dipadankan dengan aerokit tulen Impul.

Malah, rim aloi ringan bersaiz 17 inci Impul Aura SX-10 menjadikan pemanduan lebih baik selain stabil ketika mengambil selekoh.

Peredam bunyi ekzos Impul Blast II keluli melengkapkan ciri sporty keseluruhan fizikal Sylphy dan menawarkan reaksi tindak balas enjin lebih jitu.

Ruang dalamannya turut mendapat sentuhan Impul apabila kerusi kulit hitam dan alas kaki berlogo Impul menawarkan keselesaan tambahan.

Selain itu, konsol tengah dengan kapasiti 9.7 liter membolehkan sebuah beg tangan atau barang berharga lain 'disembunyikan' daripada perhatian orang ramai.

Papan pemuka kemas dengan padanan tombol penyaman udara dan audio disusun teliti.

Sistem penyaman udara beroperasi secara automatik selain semua tingkap kaca dilengkapi lapisan pelindung khas berupaya menghalang 87 peratus sinaran ultra ungu.

Sistem audio enam pembesar suara juga menjadikan Nissan Sylphy Impul ini sempurna sebagai kereta keluarga.

Dari segi prestasi, enjin 2.0L dengan teknologi Nissan Xtronik CVT (transmisi boleh ubah berterusan) tidak pernah menghampakan.

Enjin MR20DE 1,997cc DOHC yang tersimpan bawah bonet hadapan Sylphy ternyata menjimatkan dengan anggaran penggunaan satu liter petrol untuk perjalanan sejauh 16 kilometer.

Malah, teknologi Xtronik CVT membolehkan penumpang tidak merasai langsung setiap kali pertukaran gear dilakukan dan enjin bergerak lancar.

Enjin aluminium generasi ketiga Nissan ini membolehkan jentera dipacu selaju 110 kilometer sejam (km/j) dengan putaran di bawah 2,500 rpm.

Dengan 133 kuasa kuda (hp) dan tork setinggi 191 Nm, Sylphy menjadi sebuah sedan yang cukup bertenaga, berkuasa dan bergaya.

Sistem gantungan Sports Impul berjaya meningkatkan cengkaman dan menambah baik kawalan stereng bantuan elektrik dengan rizab keselamatan tinggi untuk dinamik pemanduan cemerlang.

Sistem ini merangkumi penyerap hentak dipertingkatkan dan gegelung yang merendahkan paras pemanduan hampir 25 milimeter.

Tidak hairan sesi pandu uji selama empat hari ini tidak pernah membosankan dan penulis mampu mengawal jentera lebih baik apabila meratah selekoh atau memecut di lebuh raya.

Lampu hadapan berteknologi Complex Surface Reflector (CSR) membolehkan cahaya dipantulkan 50 peratus lebih terang dan amat berguna ketika pemanduan malam.

Walaupun model ini dilengkapi sistem suspensi sport, ia tetap selesa untuk kegunaan keluarga atau mengharungi perjalanan jauh.

Berharga sekitar RM123,900 seunit, Nissan Sylphy Impul adalah jentera sempurna bagi mereka yang inginkan kereta lebih sporty, luas, selesa, gaya dan menjimatkan petrol.

SPESIFIKASI

Nissan Sylphy Impul 2.0L

Enjin: 1,997cc DOHC dengan Xtronik CVT

Kuasa maksimum: 133hp pada 5,200rpm

Tork maksimum: 191Nm pada 4,400rpm

Ciri keselamatan: ABS, EBD, BA, Beg Udara SRS

Harga: RM123,900

Tayar dicadangkan: Formula D 01 205/45R17 84V

No comments:

Popular Posts