Search This Blog

Loading...
Your Ad Here

terkini

07 November 2009

Syiling, Ikan Dan Bebola Daging Adalah Wajah Kita


Kerja ini bukan senang. Masa, tenaga, komitmen, kerjasama, tumpuan, kewangan, ruang, kebenaran, sokongan dan banyak lagi dikorbankan untuk menjayakannya. Semua itu wajar direkodkan. Lalu buku rekod Malaysia pun merekodkannya (baca sini).

Rekod itu akan kekal sampai bila-bila, tidak terpadam walau pun dipecahkan. Ia bakal disaksikan generasi akan datang. Sepuluh, dua puluh, tiga puluh atau ratusan tahun, selagi buku rekod itu ada, orang akan membacanya.

Soalnya, berbanggakah generasi dua puluh, atau tiga puluh tahun lagi dengan pencapaian ini? Begitu juga, adakah anak-anak yang turut terlibat dengan projek tersebut turut berbangga dengan pencapaiannya itu apabila dia melihat kembali buku rekod itu?

Entahlah. Ketika ramai orang sedang bertungkus-lumus untuk menghantar lebih ramai anak Melayu ke universiti terkemuka dunia, melahirkan lebih ramai angkasawan, lebih ramai profesor bertaraf dunia, lebih ramai saintis yang hafaz al-Quran, lebih ramai hafiz yang menjadi saintis…, ada orang masih berfikir untuk meluangkan masa, tenaga dan upayanya untuk aktiviti sebegini.

Entahlah. Mungkin pada pandangan mereka ini adalah permulaan kepada usaha-usaha di atas. Namun, jika dikira kembali, tentu ada yang termenung panjang.

Enam bulan bersamaan 176 hari, bersamaan pula dengan 4224 jam untuk persediaan, ditambah dua jam lagi untuk melaksanakannya, menjadikan jumlah jam yang diambil ialah sebanyak 4226 jam. Saya ulang 4226 jam. Ya, bukan setiap detik dihabiskan untuk menjayakan rancangan itu, tetapi sekurang-kurangnya sebahagian besar detik dihabiskan untuknya.

Aktiviti ini tidak salah tetapi tentu bertaraf rendah jika dibandingkan dengan hasrat gagasan yang dilogokan itu.

Mahukah kita, ketika negara India melahirkan penghafaz al-Quran yang berusia 6 tahun, negara Iran melahirkan ribuan Ayatullah yang memiliki tiga hingga empat ijazah doktor falsafah, negara Indonesia melahirkan ratusan penceramah cilik, negara Singapura melahirkan sekian banyak tentera terlatih, negara haram Israel pula melahirkan pasukan berani mati untuk mengganyang orang Islam Palestin…

… kita pula melibatkan anak-anak untuk sekadar projek sebegitu yang entah akan lahir sebagai ‘apa’ dua puluh tahun lagi. Dalam pada itu, orang-orang dewasa pula tumpang sekaki seronok dengan aktiviti bertaraf rendah itu.



Entahlah. Itu satu hal. Ada pula yang kagum dengan apa yang didakwa sebagai tulisan nama tuhan pada badan ikan (baca sini).

Mengapa itu sahaja yang dianggap sebagai tanda-tanda kekuasaan tuhan, sedangkan ikan itu sendiri adalah tanda kekuasaan-Nya? Mengapa lebih kagum kepada tulisan yang terbentuk (kononnya) sedangkan kejadian ikan itu sendiri lebih mengagumkan? Malah kejadian diri sendiri sejuta kali lebih mengagumkan berbanding ikan dan tulisan di badan ikan itu?

Adakah orang Islam juga akan meniru sebahagian kaum lain yang kagum dengan berbagai-bagai bentuk tulisan yang dianggap bertuah yang terbentuk pada badan ikan ‘flower horn’?

Entahlah… pakat-pakatlah tolong fikir. Tapi, kalau nak dikatakan orang kita sahaja yang begitu, ada orang lain, negara lain pun begitu juga. Cuba tengok di bawah (baca sini).



Oleh Zolkharnain Abidin

No comments:

Popular Posts