Search This Blog

Loading...
Your Ad Here

terkini

26 December 2009

Ford Mondeo










Merupakan unit impot sepenuhnya (CBU) dari Belgium, sedan dalam segmen D jenama Amerika itu nampaknya cukup serius dalam memastikan kehadirannya di Malaysia disedari.

MODEL Ford itu pernah menjadi bintang dalam filem blockbuster James Bond Casino Royale pada tahun 2006. Biarpun hanya muncul buat seketika, ramai yang sudah tertunggu-tunggu bilakah model itu akan berada di pasaran atau sekadar menjadi salah satu gajet Bond untuk menumpaskan musuhnya.

Sebenarnya, waktu itu Ford Mondeo masih sebuah model prototaip. Ia akhirnya dijelma dan dipamerkan pada beberapa motorshow termasuklah di Australia setahun kemudian (2007). Keterujaan orang ramai terhadap model tersebut kian bertambah apabila ada beberapa nama besar dalam dunia automotif seperti Jeremy Clarkson menyifatkannya setanding atau lebih baik daripada model BMW 3 Series.

Apatah lagi, sudah lebih sedekad Ford tidak membawa masuk model bersaiz sebegitu ke Malaysia. Selama ini, Ford terus hidup dalam kalangan pengguna di sini menerusi model-model seperti Laser, Telstar, Focus dan Ranger.

Di sini, jenama Ford berada di bawah naungan Sime Darby Auto ConneXion Sdn. Bhd. (AutoConnexion). Memang tidak dapat dinafikan bahawa sejak AutoConnexion mengambil alih jenama tersebut, Ford kembali aktif .

Justeru, keputusan mengetengahkan Mondeo boleh dijadikan bukti kesungguhannya untuk kembali bersaing dalam segmen sedan bersaiz besar.

Harus tahu, Mondeo dilihat sebagai model penting buat Ford. Model yang pertama kali dilancarkan pada tahun 1993 itu kekal sebagai salah satu sedan besar paling popular di Eropah. Buktinya, sejak dilancarkan pada tahun 2007, lebih 75,000 unit Mondeo berjaya dijual di sana.



RUANG kokpit yang kemas dan berorientasikan pemandu. Ia juga sarat dengan teknologi terbaru untuk kemudahan setiap penggunanya.

"Kami benar-benar teruja kerana akhirnya dapat memperkenalkan Mondeo ke Malaysia. Segala usaha itu demi memberikan pilihan terbaik buat pengguna yang inginkan sebuah sedan Eropah bersaiz besar.


"Mondeo sememangnya terkenal dengan pacuan dinamik, sistem keselamatan dan pakej dalaman yang menarik. Menerusi model terbaru ini, Ford telah membawa kualiti ke satu tahap baru di samping prestasi dalam segala segi. Transformasi dramatik juga boleh dilihat pada reka bentuknya," kata Pengarah Urusan AutoConneXion, Mohd. Hazem Abd Rahman.

Reka bentuk kinetik

Mondeo nyata membuka lembaran barunya di pasaran domestik yang selama ini lebih dikuasai oleh jenama dari Jepun dan Jerman. Ia dilihat cukup kental dengan nilai tradisinya. Apa lagi kalau bukan daya pacuan dan keselamatan yang ada padanya.



PAPARAN meter yang lengkap dengan pelbagai informasi berguna.

Keselesaannya membuatkan anda seperti sedang berada dalam sebuah limousin. Itu belum lagi ditambah dengan pelbagai ciri terbaik sama ada pada bahagian dalam mahupun luarannya.

Gaya Mondeo baru yang dinamik terletak pada inspirasi 'reka bentuk kinetik' Ford. Ia seakan-akan memperlihatkan tenaga dalam pergerakan. Apabila dilihat dari arah hadapan, wajah Mondeo yang baru begitu menyerlah. Gril bawahnya berbentuk trapezium, sekali gus membentuk sebahagian daripada elemen 'reka bentuk kinetik' yang menjadi identiti kepada model-model baru Ford.

Mondeo dikuasakan oleh enjin bersesaran 2.3 liter Duratec empat silinder. Ia dikatakan mampu menjana kuasa sehingga 161PS pada putaran enjin 6,500 rpm dan tork maksimum 208Nm @ 4,200 rpm. Enjin 16 injap berprestasi tinggi dan aluminium sepenuhnya itu tidak dikongsi dengan mana-mana model Mazda. Dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan, ia pasti menjanjikan pengalaman pemanduan yang memuaskan.




ENJIN Duratec bersesaran 2.3 liter yang cukup bertenaga.



Euro-NCAP

Tidak perlu ragu-ragu dengan kualiti pengendaliannya. Ini kerana Mondeo mengaplikasikan sistem suspensi jenis topang MacPherson untuk roda hadapan. Sistem tersebut digandingkan bersama suspensi control blade multilink dan bar penstabil pada roda belakangnya.

Keupayaan Ford dalam aspek keselamatan terserlah melalui penarafan lima bintang dalam Euro-NCAP. Selain itu, sistem perlindungan pintar yang dipertingkat (Enhanced Intelligent Protection System) menyediakan teknologi terkini untuk membantu pemandu ketika berada di belakang stereng dan melindungi setiap penumpangnya.

Mondeo dilengkapi tujuh beg udara. Ia meliputi beg udara dua peringkat untuk pemandu dan penumpang hadapan. Selain beg udara yang diletak pada lutut pemandu, bahagian sisi serta jenis tabir (curtain airbags) bagi penumpang belakang.




RIM aloi bersaiz 17 inci yang membuatkan penampilan Mondeo semakin sempurna.

Jika berlaku pelanggaran, kolum stereng yang boleh dipatahkan dan pedal anti-gangguan menambah perlindungan untuk pemandu. Perehat kepala yang mampu meminimumkan kecederaan, penegang tali pingang keledar, penyentap dan pembatas muatan memastikan pemandu dan penumpang hadapan tetap berada di tempat duduk masing-masing bagi mengurangkan potensi kecederaan apabila beg udara berfungsi.

Ciri-ciri keselamatan aktif seperti Sistem Brek AntiKunci (ABS) dengan Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek Kecemasan (EBA) menjamin keupayaan membrek dengan cepat dan tepat. Sementara lampu kecemasan akan menyala secara automatik apabila Mondeo membrek keras secara tiba-tiba. Pelekap ISOFIX pada Mondeo juga memastikan tempat duduk kanak-kanak berada dalam keadaan selamat sepanjang masa.
Give the perfect gift this holiday season, Inspiron̢㢠14

Easyfuel Ford

Sebagai kereta berteknologi paling canggih pernah dilancarkan oleh Ford setakat ini, Mondeo turut dilengkapi dengan beberapa teknologi baru untuk kemudahan pemandu. Antaranya ialah sistem pengisian minyak Easyfuel Ford. Easyfuel hadir bersama penyekat khas yang boleh mengelakkan pemandu daripada tersalah isi bahan api ke dalam tangki.

Buat pertama kalinya Ford menggunakan teknik pengilangan inovatif dikenali sebagai laser-brazing untuk menghasilkan Mondeo. Teknik laser-brazing merupakan salah satu daripada aplikasi pertama bagi Ford atau dalam segmennya. Laser-brazing meliputi cara cantuman panel sisi dan panel bumbung bagi memberikan kemasan yang lebih bermutu lebih tinggi.




REKA bentuk bahagian hadapan yang cukup memukau.

Mondeo turut mendapat manfaat daripada inisiatif Teknologi Perkongsian Global (Global Shared Technology) Ford Motor Company. Maksudnya, ia berkongsi banyak elemen utama yang menjadi tunggak kepada penghasilan model kenderaan pebagai guna (MPV) Ford S-MAX dan Ford Galaxy generasi baru.

Antara kelebihan membangunkan kenderaan menerusi cara itu ialah sebahagian besar teknik pembangunan dan ujiannya dikongsi bersama model-model lain. Pendekatan tersebut mampu mengurangkan kos dan membolehkan Ford memberi lebih tumpuan kepada usaha menyediakan manfaat tambahan kepada pelanggannya.

Model kelima

Untuk makluman, Mondeo ialah model baru Ford yang kelima dilancarkan oleh AutoConneXion pada tahun ini. Ford Focus hatchback dan sedan serba baru telah dilancarkan pada Februari, model trak pikap Ranger 4X4 (April), model SUV Escape (Jun) dan Everest pada bulan Ogos. Manakala MPV S-Max dengan konfigurasi tempat duduk 5+2 bakal dilancarkan pada tahun 2010.

Usaha agresif AutoConneXion untuk mengembalikan kegemilangan jenama Ford diiktiraf melalui anugerah 'Best Comeback Brand' oleh Asian Auto-VCA Awards 2009. Ford turut diberi penghormatan kerana terus memperkenalkan produk-produk yang lebih baik pada harga cukup kompetitif.

AutoConneXion juga sedaya upaya menunaikan janjinya untuk memberikan pengalaman pemilikan yang lebih baik kepada pelanggan. Caranya, dengan melancarkan kempen selepas jualan dan mengubahsuai bilik pamerannya.

Walaupun industri automotif menghadapi tempoh sukar pada tahun 2009, Ford tetap mencatatkan pertumbuhan tahunan memberangsangkan sebanyak 15 peratus dari segi jumlah jualan kenderannya di Malaysia. Ranger ternyata menjadi model Ford paling popular dengan jualan meningkat 59 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Mondeo yang disertakan dengan jaminan selama tiga tahun atau perbatuan 100,000 km (yang mana terdahulu) ditawarkan pada harga RM178,888 seunit di atas jalan dengan insurans.

No comments:

Popular Posts