Search This Blog

Loading...
Your Ad Here

terkini

09 January 2010

Herba khazanah berharga




Masyarakat Orang Asli memiliki banyak rahsia mengenai kehebatan tumbuhan hutan yang kini mula membuka mata pelbagai pihak dalam dunia perubatan moden.

USAHA mengkomersialkan tumbuhan herba dapat memastikan warisan pengetahuan Orang Asli tidak pupus.

GOLONGAN tua Orang Asli termasuk Tok Batin dan Tok Halaq ialah orang paling arif dengan sumber hutan.

Mereka antara kelompok paling banyak mewarisi ilmu penggunaan sumber tumbuh-tumbuhan dalam hutan sebagai ubat untuk pelbagai jenis penyakit. Demikianlah pandangan Ketua Pengarah Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail.

Beliau menyifatkan masyarakat itu ada hubungan akrab dengan hutan kerana mereka mempercayai setiap hidupan alam memiliki semangat dan roh tersendiri.

"Tidak hairanlah walaupun setelah ratusan tahun mendiami hutan belantara Orang Asli terus memastikan sumber alam khususnya herba dapat diwarisi oleh generasi akan datang," katanya.

Pada masa sama, mereka menitikberatkan sistem ekologi terus kekal untuk kegunaan anak dan cucu mereka.

Segala pengalaman yang diwarisi membolehkan mereka memahami setiap rahsia tumbuh-tumbuhan yang mampu dijadikan herba untuk mengubati penyakit.

Rahsia herba

Tambah Ibrahim walaupun tiada pendidikan formal, Orang Asli arif mengenai segala jenis tumbuhan dan memahami kitaran serta perubahan tumbuhan.

"Herba bukan sahaja mendedahkan pengetahuan tentang kepelbagaian tradisi kesihatan Malaysia tetapi menjelaskan pemahaman saintifik dan kaitannya dengan latar belakang budaya dan sejarah komuniti Orang Asli sendiri.

"Lebih jauh daripada itu, keistimewaan herba menjalinkan kaitannya dengan lain-lain bidang seperti bio-teknologi, kesihatan, pertanian, perniagaan, perubatan dan sosial sains," katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf memberitahu, masyarakat Orang Asli memelihara dan menghormati khazanah rimba kerana menganggap herba menyimpan seribu satu keajaiban.

Beliau berharap anak-anak muda kini lebih menghargai kebolehan istimewa, ketajaman minda dan sumbangan Orang Asli dalam pengeluaran herba itu.

"Namun, sayangnya anak-anak muda hari ini hanya mengenali tumbuhan herba berbentuk kapsul dan jus minuman tanpa mengetahui rupa asal tanaman tersebut.

"Sepatutnya mereka perlu tahu rupa asal tumbuhan herba. Suatu hari nanti bila mereka jumpa pokok herba, mereka akan menjaga dan memeliharanya supaya dapat menjadi khazanah negara yang berharga," katanya.

Selain itu, katanya, penghasilan produk berasaskan herba juga menjadi pilihan bagi kaedah rawatan alternatif kepada mereka yang inginkan rawatan bebas kimia.

Peranan Orang Asli

Kurator Muzium Negara, Mohd. Jamil Haron pula menyatakan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia ialah antara kaum minoriti yang terdiri daripada 18 suku kaum berdasarkan tiga kumpulan utama iaitu Senoi, Negerito dan Proto Melayu.

Beliau berkata, keadaan persekitaran kediaman mereka yang dikelilingi tumbuhan tropika membolehkan masyarakat ini mengenali dan memahami tumbuh-tumbuhan semula jadi untuk dijadikan keperluan rutin mereka.




TUMBUHAN liar di hutan amat mewah dengan pelbagai khasiat yang sesuai untuk kegunaan manusia

"Mereka dapat mengetahui rahsia sebahagian daripada 6,000 spesies tumbuhan tropika dalam negara untuk dimanfaatkan sebagai makanan termasuk herba," katanya.

Mohd. Jamil berkata, setiap kaum daripada kalangan Orang Asli mempunyai pengetahuan masing-masing tentang herba tetapi hanya mereka dalam kumpulan Senoi seperti Semai dan Temiar yang banyak berkongsi pengetahuan dalam membantu aktiviti penyelidikan.

Kesan daripada itu, pelbagai penyelidikan dan inovasi sains dapat dilakukan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat umum, katanya.

"Kini, ia bukan sahaja diiktiraf pakar kesihatan, malah menjadi industri yang dikomersialkan di peringkat global.

"Berdasarkan kajian, hanya sebahagian kecil herba telah dilakukan ekstrak piawai melalui ujian klinikal namun penyelidikan dan pembangunan berkaitan dengannya kian meningkat saban tahun," katanya.

Menurutnya, herba yang sering dikaitkan sebagai ubat tradisional sangat kaya dengan khasiat serta mampu dijadikan alternatif kepada perubatan moden untuk menyembuhkan penyakit di samping menguatkan sistem imunisasi badan.

Mengikut definisi, herba ialah tumbuhan yang boleh diguna sebagai bahan makanan, perubatan dan bahan aroma.

Ini bermaksud tidak hanya tumbuhan renek, bahkan pokok berkayu juga boleh ditakrif sebagai herba jika ada potensi

Selain untuk perubatan dan penjagaan kesihatan seperti memberi tenaga, awet muda atau penawar selepas bersalin, herba juga digunakan dalam ritual bagi menghindar gangguan makhluk halus.

Di Malaysia, sumber ubat tradisi ini telah lama diperoleh daripada bahagian tumbuhan seperti akar, batang, daun, buah mahupun kulit kayu.



GENERASI muda harus didedahkan dengan pengetahuan mengenai 6,000 tumbuhan herba agar dapat diwarisi generasi akan datang

Terdapat sekurang-kurangnya 1,158 spesies tumbuhan tinggi di Malaysia direkodkan mempunyai nilai perubatan.

"Daripada jumlah tersebut, 1,075 ialah tumbuhan berbunga, 76 spesies paku-pakis dan tujuh spesies lagi daripada keluarga gimnosperma," katanya.

Menurut Mohd. Jamil selain mujarab merawat penyakit biasa seperti sakit kepala, batuk dan demam, ada juga sesetengah spesies boleh mengubati penyakit tropika seperti malaria dan kolera.

Beliau berkata, masyarakat Orang Asli hanya menggunakan peralatan asas yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka untuk menyediakan sesuatu herba.

"Prosesnya bermula dari memilih pokok herba dalam hutan oleh Tok Batin, Tok Halaq atau orang-orang tua yang berpengalaman luas hinggalah ke peringkat menentukan herba yang sesuai.

"Penentuan sesuatu herba untuk mengubati sesuatu penyakit berdasarkan kepercayaan yang kuat kepada petua dan pantang larang diwarisi," katanya.

Beliau berkata, hanya bahagian tertentu pada pokok boleh dijadikan herba, iaitu sama ada akar, daun, kulit pokok atau buahnya sahaja kecuali pokok layang-layang yang keseluruhan bahagiannya boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

No comments:

Popular Posts