Search This Blog

Loading...
Your Ad Here

terkini

14 March 2010

Kanak-kanak dipaksa kahwin lelaki tabligh ditemui di Batu Caves

Seorang kanak-kanak perempuan, Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, yang dikahwinkan dengan seorang lelaki tabligh berusia 41 tahun dan dilarikan lelaki terbabit telah ditemui di sebuah masjid berhampiran Batu Caves, Selangor, semalam.

Siti Sarnan Mat Ail, 42, ibu kanak-kanak itu berkata, beliau dihubungi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali memaklumkan mengenai penemuan anaknya itu.

“Kira-kira pukul 6.30 petang semalam saya terima satu panggilan dari seorang lelaki yang memberitahu anak saya berada di sebuah masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera dekat Batu Caves.

“Mulanya saya ragu-ragu kerana tidak mungkin anak saya dibawa hingga ke Selangor tetapi apabila dibenarkan bercakap dengan anak saya barulah saya percaya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya, sebaik mengetahui anaknya ditinggalkan di surau terbabit, beliau segera menghubungi salah seorang saudaranya yang menetap berhampiran Batu Caves supaya pergi menemui Siti Nur Zubaidah.

“Saudara kakak kemudian menemui Siti Nur Zubaidah dalam keadaan lemah tidak bermaya dan membawanya ke Balai Polis Kepong untuk membuat laporan penemuan sebelum membawanya ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Ketua Polis Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan separuh sedar di Masjid Al-Ikhwan, Taman Samudera Batu Caves oleh bapa saudara kanak-kanak itu pada kira-kira pukul 7.15 malam.

Siti Sarnan berkata, sehingga kini anaknya itu masih dirawat di hospital terbabit dan beliau dimaklumkan saudaranya, Siti Nur Zubaidah berada dalam keadaan stabil tetapi enggan bercakap kerana masih dalam keadaan trauma.

“Mungkin dia lemah kerana tidak makan dan trauma apabila dilarikan lelaki itu sehingga ke Selangor. Saya tidak sabar untuk berjumpa anak saya itu setelah 20 hari dia hilang,” katanya.

Siti Sarnan berkata, beliau dan suaminya meneruskan perjalanan ke Selangor pagi ini untuk menemui Siti Nur Zubaidah.

Sebelum ini, Siti Nur Zubaidah, dikahwinkan bapanya Hussin Mat Salleh, 54, kepada Shamsuddin Che Derahman, lelaki tabligh berusia 41 tahun selepas diperdaya bahawa perbuatan itu mengikut Sunnah Nabi Muhammad. Enakmen Keluarga Islam Kelantan menetapkan syarat umur berkahwin bagi perempuan minimum 16 tahun ke atas.

Siti Sarnan kemudian membuat laporan polis pada 25 Februari lalu.

Sementara itu, isteri pertama lelaki terbabit, Rohana, 33, berkata, sehingga kini suaminya yang dikenali sebagai “Sudin Ajaib” itu tidak menghantar sebarang berita atau menghubunginya.

“Saya tidak tahu ke mana suami saya menghilang dan turut berusaha mengesannya sebelum ini, syukurlah Siti Nur Zubaidah ditemui,” katanya.

Sementara itu, Siti Sarnan berkata, beliau masih mengharapkan orang ramai yang melihat lelaki terbabit yang menaiki kereta Proton Iswara berwarna putih milik suaminya dengan nombor pendaftaran BEF 7599 supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Menurutnya, beliau bersyukur anaknya ditemui dalam keadaan selamat dan mengharapkan lelaki itu ditahan polis bagi mengelakkan kanak-kanak lain menjadi mangsa. — Bernama


Akad sambil pandu kereta
Oleh Siti Fatimah Hassan dan Siti Nor Hidayah Razali
am@hmetro.com.my
2010/03/11

PASIR MAS: “Baba jahat!...Baba jahat!” tangis seorang budak perempuan berusia 10 tahun kepada ibunya selepas dinikahkan secara paksa oleh bapa kandung dengan rakan jemaahnya berusia 30-an di sini.

BUKTI…Na menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Pasir Mas mengenai perkahwinan anak perempuannya.

Lebih memeranjatkan, upacara ‘nikah koboi’ itu diadakan dalam sebuah kereta dengan bapa kanak-kanak itu bertindak sebagai jurunikah dan wali sambil disaksikan seorang saksi tanpa kehadiran pengantin perempuan.

Pernikahan diragui itu diceritakan sendiri ibu kanak-kanak terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Na, 33, kepada Harian Metro selepas dimaklumkan anak perempuannya itu.

Katanya, dia terkejut kerana tidak menyangka suaminya tergamak menikahkan anak perempuan mereka yang masih budak dengan rakan jemaahnya tanpa memaklumkan kepada ahli keluarga pada 22 Februari lalu.

“Mulanya saya terkejut apabila anak perempuan pulang ke rumah pada pagi 23 Februari lalu dengan menangis teresak-esak sambil memarahi bapanya dengan perkataan ‘baba jahat!’.

“Dia mengulangi perkataan itu berulang kali sambil menambah ‘baba kahwinkan saya dengan kawannya’ menyebabkan saya tertanya-tanya maksud di sebalik ayat terbabit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Beta, Pohon Buluh di sini, semalam.

Harian Metro difahamkan, proses pernikahan ringkas itu berlaku jam 5 petang apabila si bapa menikahkan sendiri anak perempuannya tanpa mengikut prosedur pernikahan biasa dan berlaku dalam suasana serba ringkas dalam kereta.

Bagaimanapun, ‘pengantin perempuan’ tidak hadir ketika upacara akad nikah itu berlangsung, sebaliknya dia hanya dibawa ke hotel selepas disahkan suami isteri.

Difahamkan, lelaki terbabit menikahkan anak perempuannya itu selepas dijanjikan ganjaran pahala oleh rakan jemaahnya selain ditaburkan janji manis kononnya ia mengikut sunnah Nabi dan pahalanya berlipat ganda.

Dia yang terpengaruh dengan ‘janji syurga’ kononnya mendapat ganjaran berlipat kali ganda kemudian bersetuju mewali dan menikahkan anaknya walaupun baru berusia 10 tahun.

Meskipun pernikahan terbabit mungkin sah mengikut syarak, namun tindakan menikahkan budak berusia 10 tahun menjadi kesalahan mengikut undang-undang syariah kerana masih di bawah umur.

Na berkata, dia segera mendapatkan penjelasan daripada anak perempuannya itu untuk mengetahui perkara sebenar, sebelum anak kedua daripada empat beradik itu menceritakan dia sudah dinikahkan.

“Tergamam saya ketika itu apabila dia beritahu dikahwinkan dengan rakan suami saya tanpa kerelaannya. Perasaan marah terhadap suami meluap-luap. Persoalannya mengapa dia sanggup mengahwinkan anak yang masih mentah.

“Ini menyebabkan saya segera bertemu rakan suami di sebuah masjid kira-kira 200 meter dari rumah untuk mendapatkan penjelasan mengenai pernikahan itu dan dia mengesahkannya,” katanya.

Katanya, berdasarkan pengetahuannya, proses pernikahan itu berlangsung di dalam sebuah kereta yang sedang bergerak dan suaminya mewalikan pasangan anaknya sambil memandu.

“Saya dapat tahu anak saya diperdaya suami kononnya mahu membawa dia membeli-belah di sebuah pasar raya di Kota Bharu bersama saya yang sedang menunggu di situ.

“Bagaimanapun, semua barang yang dibeli dibayar rakannya sebelum dia dibawa ke sebuah hotel dekat Kota Bharu. Mereka menyewa dua bilik hotel. Sebuah untuk anak dan ‘suaminya’, manakala sebuah lagi untuk suami,” katanya.

Na berkata, selepas mengetahui dia sudah dinikahkan, anaknya menggunakan helah untuk tidur dengan tukang sapu wanita hotel terbabit sebelum dibawa pulang keesokannya.

Berikutan itu, Na ke Balai Polis Pasir Mas pada 25 Februari lalu untuk melaporkan mengenai perkahwinan anaknya dengan lelaki terbabit.

Pada masa sama, ibu kanak-kanak terbabit turut membuat laporan di Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) selepas mendapat nasihat daripada ahli keluarga.

Berikutan itu, katanya, anaknya dikenakan perintah mufarakah (dipisahkan) dengan lelaki yang mengahwininya oleh Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu, minggu lalu.

Difahamkan, kejadian itu berlaku sebelum akhbar mendedahkan mengenai seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, namun lokasinya berbeza iaitu di sebuah madrasah berhampiran masjid besar di Machang - hmetro

No comments:

Popular Posts