Search This Blog

Loading...
Your Ad Here

terkini

13 July 2010

Sotong, jus oren dan matador





Dia didakwa 'pengkhianat'. Dilahirkan di England, tetapi berpaling tadah dengan menyokong pasukan Jerman.

"Apa yang England boleh buat? Dia sudah dapat kerakyatan Jerman dan memegang pasport negara," kata seorang peminat sukan sambil ketawa.

Paul the octopus proven with his spot-on predictions of World Cup 2010 matches.Itulah Paul, si sotong kurita yang dikatakan mempunyai kuasa psikik mampu meramalkan - kemenangan dan kekalahan - semua enam perlawanan yang membabitkan Jerman sepanjang Piala Dunia berlangsung.

Dia dilahirkan di Weymouth, England pada tahun 2006, tetapi 'membesar dan bermastautin' di akuarium Sea Life di Oberhausen di Jerman.



Ramalannya - setakat ini - semuanya tepat bahawa Jerman menang bergaya dengan negara kuasa besar bola sepak dunia iaitu England, Argentina di samping menewaskan Australia, Ghana serta meramal ketewasan Jerman di peringkat kumpulan di tangan Serbia.

Sungguh menakjubkan!

Malah perlawanan separuh akhir pun, dia turut memilih Sepanyol sebagai pemenang, dan memilih 'mengkhianati' negara sendiri.

"Marvelous, bravo, fantastic, superb!"

Itulah kata-kata yang diluahkan oleh peminat bola sepak.

Paul the octopus proven with his spot-on predictions of World Cup 2010 matches.“Ya, 6-0 setakat ini.” Semua ramalannya tepat belaka.

Umum mengetahui, kehadiran dan ramalannya menjadi satu fenomena dan bualan di seluruh dunia. Bahkan menjadi buah mulut dan cerita sensasi di akhbar, televisyen tentang keupayaannya sehingga cakap-cakap tentangnya berlarutan ke kedai-kedai kopi, termasuklah di Malaysia.



Ada yang marah, benci dan tidak kurang pula, ada yang sayang. Setakat ini, orang paling membencinya adalah bookie judi dan penyokong Argentina kerana ia meramalkan pasukan dari Amerika Latin dan negara lain itu tewas.

Hampir menangis

Kawan saya, hampir menangis dan kecewa kerana pasukan pilihannya, Jerman kalah dek kerana ramalan tepat si sotong kurita ini.

Saya hanya mampu berkata "sabarlah".

Begitulah kehadiran si Paul yang membentuk suasana dan fenomena baru dalam peminat sukan bola sepak.

Dan berita terbaru, Paul sudah membuat pridiksinya. Dia memilih Sepanyol sebagai juara.

Daazlann sebagai 'ahli nujum' negaranya, dia memilih Jerman mengalahkan Uruguay untuk merangkul tempat ketiga.

Jadi sekarang, semua orang tertumpu kepadanya termasuklah bookie-bookie judi besar yang bertaruh untuk memilih pasukan yang bakal juara.

Persoalannya, apakah ramalan Paul itu benar-benar berlaku atau sekadar kebetulan.

Atau memang betul ia mempunyai kuasa psikik yang rasional?

Rasional atas padang

Tak mengapa, biarkan sahaja dia di dalam akuarium itu. Mari kita tengok rasional 'di atas padang'.

Realiti di atas padang, kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan tersendiri dan kedua-dua akan menunjukkan kelebihan masing-masing kerana kedua-duanya masih belum pernah mengecapi piala yang paling berprestij itu.

Bagi Sepanyol, memetik kata-kata jurulatih Jerman Joachim Loew bahawa, pasukan itu tidak mempunyai seorang 'Messi' tetapi ada ramai pemain sepertinya yang boleh mengatur dan menentu permainan.

Bagi yang mengikuti semua perlawanan yang melibatkan pasukan 'La Roja' ini, mungkin boleh bersetuju dengan pandangan itu.

Hampir semua pemainnya, saya tahu mereka bermain di kelab mana dan selalu mengikuti cara mereka bermain.


Contohnya tiga pemain tengah mereka, Xavi Hernandez, Andres Iniesta dan Xabi Alonso.

Hampir semua gerakan dan hantaran pasukan itu dimulakan dengan ketiga-tiga pemain Sepanyol ini.

Ia dimulakan dengan hantaran-hantaran pendek kemudiannya 'dipam' kepada penyerang sama ada David Villa, Fernando Torres atau Pedro Rodriguez.

Perkara yang sama juga dilakukan - Xavi dan Iniesta - sewaktu bermain mewakili kelab Barcelona.

Sebab itu Barcelona menjadi juara liga dengan mencatatkan jumlah jaringan gol yang banyak.

Manakala Alonso juga akan bertindak 'menjolok' bola melalui lorongan 'through pass' kepada rakannya yang lain.

Atau beliau sendiri akan membuat rembatan dari jarak jauh sepertimana yang dilakukannya sewaktu mewakili Liverpool dan Real Madrid sekarang ini.

Ketiga-tiganya juga akan merancang melalui 'set pieces' dari sepakan percuma di hadapan kotak penalti atau mengambil sepakan sudut.

Xavi adalah punca kekalahan Jerman di tangan Sepanyol apabila sepakan sudut yang diambilnya membolehkan Carles Puyol membuat tandukan.

Jaga ayam tambatan

Saya yakin, mereka akan melakukannya sekali lagi dalam perlawanan akhir nanti. Belanda, kalau nak menang, jaga ayam-ayam tambatan ini!

Di bahagian midfield, Sepanyol mempunyai pbarisan pemain yang mantap. Jurulatih Vicente del Bosque tidak perlu peningkan kepala kerana 'hubungan kimia' antara Xavi-Iniesta sudah lama terbentuk.

Kedua-dua mereka ternyata berbisa dan mampu menjaringkan gol kemenangan untuk pasukan itu.

Di bahagian pertahanan, Sepanyol ada 'dua kereta kebal' - Gerard Pique dan Carles Puyol - yang tinggi, kental dan juga mampu membuat kejutan dengan menjaringkan gol.

Sekali lagi del Bosque tidak perlu peningkan kepala kerana, kedua-duanya adalah dari kelab yang sama, Barcelona - mereka tahu corak dan rentak satu sama lain.

Sergio Ramos di bek kanan, akan membuat gerakan di sebelah kanan untuk menyerang pintu gol lawan. Sebab itu jika diperhatikan dalam perlawanan, beliau akan meminta bola dari rakan, sebelum membuat hantaran lintang ke kotak penalti.

Di bahagian serangan, saya tidak perlu menghurai panjang. Peminta sukan bolasepak mana yang tidak kenal dengan Torres dan David Villa.

Prestasi Torres di Liverpool cukup membanggakan dan Villa, di Kelab Valencia, beliau menjadi antara penjaring terbanyak dalam kempen 'La Liga' di negara itu.

Jadi, saya menjangkakan permainan Sepanyol dalam perlawanan akhir kelak nanti umpama seorang matador.

Matador akan mengacah-acah lembu dengan kain berwarna merah sehingga lembu 'naik minyak' lalu menanduk. Di situlah kelembutan matador melentokkan badan - sebelah kiri dan kanan - bagi mengelak daripada ditanduk.

Sembah bumi

Akhirnya, matador akan mengambil besi tajam menikam bahagian belakang lembu itu sehingga ia tersungkur menyembah bumi mengaku kalah.

Begitu jugalah kepada Sepanyol. Dalam kelembutan permainan ada kekuatannya tersendiri mengalahkan lawan. Menyerang dari setiap sudut, bertahan dan menyerang kembali.

Apabila lembu rebah, akhirnya matador menyambut kegembiraan mengangkat tangan sambil memusing badan mengucapkan "persembahan itu untuk semua, terima kasih" seperti gaya yang dilakukan oleh David Villa meraikan jaringan gol. "Gol itu untuk semua penyokong".

Di situ, saya melihat ramalan psikik si sotong kurita itu 'nampak rasional'.

Tapi harus diingat, kelebihan skuad 'The Oranje' Belanda pimpinan jurulatih Bert Van Marwijk tidak harus diketepikan begitu sahaja.

Mereka ada kelebihan tersendiri. Setakat ini pasukan Belanda tidak pernah tewas semua enam perlawanan dalam kempen Piala Dunia ini.

Saya tidak fikir mereka juga akan meleburkan rekod cemerlang itu, tambahan pula inilah penantian selama 32 tahun sejak 1978.

Wesley Scneijder dan Arjen Robben - akan menjadi tonggak dan penggerak di barisan tengah.

Malah Scneijder akan bertindak melorong bola kepada Robin van Persie dan kepada Robben sendiri untuk menjaringkan gol.

Ini bermakna, pada pandangan saya, pertembungan pada 11 Julai nanti adalah perseteruan 'kuasa' di bahagian tengah.

Bahagian inilah yang menentukan kemenangan pasukan masing-masing di samping tidak menafikan fungsi bahagian lain.

Jika diperhatikan prestasi kedua-dua pemain ini, yang mana kedua-duanya menjaringkan gol pada tiga perlawanan terakhir menentang Uruguay, Brazil dan Slovakia.

Ia hasil gerakan yang diciptakan mereka, melalui hantaran panjang dan dekat, 'one-touch football' dan 'counter attack' sendiri akan dilakukan oleh Robben atau Scneijder.

Dirk Kuyt, yang rajin mengejar bola akan membuat hantaran-hantaran jauh malah beliau sendiri akan menggelecek bagi mengucar-ngacirkan pertahanan pihak lawan. Van Persie pula akan bergerak di sebelah kiri pintu gol lawan.

Pendek kata semuanya dalam pasukan Belanda, dilihat 'juicy' seolah-olah meminum jus 'Oranje' manis.

Kita menghirupnya dengan lancar, penuh nikmat untuk menghilangkan dahaga.

Begitulah kita melihat permainan Belanda yang lancar hantaran dan gerakannya, tepat hantarannya dan 'juicy' gaya gelecek pemainnya, pastinya akan membuatkan kita terhibur.

Jadi, apakah Belanda mampu memberi tentangan sengit kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir nanti?

Atau kita terus sahaja menerima bulat-bulat ramalan Paul, si sotong kurita atau sudah membuat pilihan tersendiri?

Terserah dan kita saksikan nanti.

Oh ya, tidak lupa bagi peminat yang mana pasukannya tidak layak, gagal dan tersingkir, hanya satu cara sahaja untuk mengubat kekecewaan.

"Makan sotong goreng tepung sambil minum jus oren dan tengok filem Matador. Dan selepas itu, ketawa puas-puas.

No comments:

Popular Posts